Akta 852: Lindungi pengguna atau bantu aktiviti haram?

Akta 852: Lindungi pengguna atau bantu aktiviti haram?

Peniaga tidak boleh lagi menjual rokok dan vape secara terbuka apabila Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) dilaksanakan tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) telah diperkenalkan sebagai langkah proaktif untuk melindungi pengguna dan meningkatkan kesihatan awam di Malaysia.

Namun, di sebalik niat murni ini, terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan kesan sampingan yang boleh timbul, termasuk pengukuhan aktiviti penyeludupan rokok haram.

Oleh itu, Baru-baru ini, Wartawan Utusan Malaysia, Hendra Winarno berpeluang menemubual Ahli Majlis, Institut Cukai Bertauliah Malaysia, Harvindar Singh mengenai topik ini.

Dalam konteks ini, timbul persoalan sama ada Akta 852 benar-benar melindungi pengguna atau sebaliknya menyuburkan aktiviti haram. Perbincangan ini perlu diteliti dengan mendalam untuk memahami implikasi sebenar akta ini terhadap masyarakat dan ekonomi negara.

UTUSAN: Bagaimana Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) dapat menjadi titik permulaan untuk diskusi berterusan tentang kesihatan awam dan implikasi serta cabaran yang perlu diatasi untuk memastikan keberkesanannya?

HARVINDAR: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang berkuat kuasa pada hari ini (1 Oktober 2024) mencetuskan pelbagai perbincangan tentang implikasi meluasnya.

Inisiatif ini dialu-alukan tetapi kita tidak boleh menafikan kesan tidak diingini yang mungkin muncul dan pandangan yang tidak diberikan perhatian dalam wacana tentangnya.

Pada satu sisi, akta ini perlu menjadi titik permulaan kepada diskusi yang berterusan kerana hakikatnya, ia perlu berevolusi jika ia dilaksanakan dengan niat untuk bersikap adil kepada semua lapisan masyarakat.

Sementara, perubahan yang dimaksudkan daripada pengenalan akta ini, perlu merangkumi hal yang lebih meluas daripada aspek perundangan semata-mata. Situasi ini menuntut kesiapsiagaan dan ketekalan bersama untuk penambahbaikan yang berterusan.

Bagaimana Akta 852 dapat mempengaruhi kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar, serta bagaimana kerajaan dapat mengurangkan tabiat merokok tanpa membebankan masyarakat?
Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang mula berkuat kuasa, dijangka memberikan nafas segar kepada aspek kesihatan awam dan kelestarian alam sekitar.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni, kerajaan kekal komited untuk mengurangkan tabiat merokok menerusi penguatkuasaan undang-undang dan usaha mendidik orang ramai secara berterusan.

Beliau menegaskan bahawa penguatkuasaan akta ini bukan bemiat untuk menguatkuasakan undang-undang yang lebih ketat terhadap orang awam. sebaliknya, ia bertujuan melindungi aspek kesihatan awam secara menyeluruh.

Akta ini merangkumi larangan mempamerkan produk rokok di kedai runcit, di samping kekangan terhadap jumlah cecair rokok elektronik (vape) yang dijual dan mengenakan isipadu pod, kartrij dan alat tembakau pakai buang kepada isi padu maksimum 3 mililiter (ml) dan botol kepada 15 ml.

Bagaimana kesan kenaikan cukai eksais 40 peratus ke atas tembakau pada 2015 mempengaruhi penyeludupan rokok haram?

Sejak 1960-an, cukai tidak langsung seperti duti import dan eksport, cukai jualan, serta cukai perkhidmatan dan eksais, merupakan sumber pendapatan kerajaan yang penting.

Namun, penyeludupan rokok haram juga merosot dengan ketara. Kajian mendapati jualan rokok haram meloniak selepas kerajaan melaksanakan kenaikan cukai eksais sebanyak 40 peratus ke atas tembakau pada 2015.

Hal ini menyerlahkan keperluan untuk mengkaji semula cukai eksais yang telah lama wujud sejak pengenalan Akta 852.

Bagaimana kenaikan cukai menyokong kesejahteraan ekonomi dan kemudahan awam, dan kesan negatif pencukaian agresif terhadap penggunaan tembakau, khususnya di kalangan kumpulan berpendapatan rendah yang beralih kepada rokok haram?

Kenaikan cukai adalah penting demi kesejahteraan ekonomi dan rakyat kerana ia wang kutipan cukai membiayai aktiviti kerajaan untuk menambahbaik dan menyelenggara kemudahan awam.

Ini di samping mendanai pelbagai perkhidmatan awam yang penting untuk memastikan masyarakat berfungsi dengan baik dan menyumbang kepada kestabilan ekonomi secara menyeluruh.

Kerajaan juga berupaya meningkatkan perbelanjaan bagi menstabilkan ekonomi di samping merangsang pertumbuhan ekonomi menerusi wang cukai, namun cukai yang tinggi secara mengejut mungkin tidak berupaya memenuhi hasrat asal ia diperkenalkan.

Hal ini kerana pengguna khususnya daripada kumpulan berpendapatan rendah, yang cenderung untuk membeli rokok haram lebih murah apabila berdepan kenaikan harga rokok.

Walaupun kerajaan cuba untuk mengurangkan penggunaan tembakau menerusi pencukaian yang agresif, kesan yang tidak diingini daripada langkah ini ialah perkembangan pasaran rokok seludup.

Bagaimana kenaikan cukai eksais pada 2020 menyebabkan peralihan kepada pasaran rokok seludup dan kerugian cukai RM5.1 bilion?
Pada 2020, perdagangan rokok seludup melonjak kepada 64.5 peratus, sebahagiannya didorang oleh kemerasotan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Peralihan ini memberi gambaran tentang hubungan jelas antara sikap pengguna dan kenaikan mendadak cukai eksais, apabila cukai yang lebih tinggi mendorong orang ramai beralih kepada pasaran yang haram di sisi undang-undang.

Selain itu, penyeludupan rokok haram yang berleluasa ke dalam Malaysia menyebabkan kerajaan kehilangan pendapatan cukai tembakau tahunan sebanyak RM5.1 bilion. Kenaikan cukai eksais yang sederhana dan boleh dijangka berupaya mengelakkan situasi demikian daripada berlaku, sekali gus membanteras penjualan rokok haram.

Hal ini mendorong sesetengah pakar untuk mencadangkan pelaksanaan kalendar cukai pelbagai tahun yang akan membantu dalam pelaksanaan kenaikan cukai secara sederhana dan boleh dijangka setiap dua tahun.

Sistem begini akan mengelakkan kejutan akibat kenaikan harga secara mendadak, sekali gus mengurangkan sebab untuk pengguna beralih kepada pasaran haram. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya