PETALING JAYA: Pengurus Besar Kanan dan Ketua Jabatan Pengurusan Aset Tenaga Nasional Berhad (TNB), Profesor Adjung Ir. Ts. Zahari Dollah dinobat sebagai Eksekutif Lelaki Tahun 2024 di Anugerah Tenaga Kuasa Asia Enlit 2024.
Enlit Asia adalah majlis persidangan, pameran dan penganugerahan Anugerah Tenaga Kuasa yang diadakan secara tahunan di Negara-negara Asia Tenggara (Asean).
Ia menghimpunkan semua pemain industri, pembekal teknologi, pakar-pakar tenaga, utiliti serta pihak kerajaan sebagai platfom untuk sama-sama berkongsi teknologi terkini, polisi, pengalaman dan program serta inisiatif berkaitan power dan energy melalui sesi panel, pembentangan kertas kerja dan pameran dari seluruh dunia.
Menurut kenyataan, anugerah berprestij itu dinobatkan kepada pemimpin industri tenaga dan kuasa.
“Pemimpin yang dinobatkan adalah merupakan tokoh yang dikenali dan diiktiraf oleh masyarakat atau industri Power and Energy dari kalangan tokoh-tokoh di negara-negara Asean,” katanya dalam kenyataan.
Zahari memegang tugas sebagai Pengerusi TNB Energy Services Sdn. Bhd., Ahli Lembaga Pengarah TNB Research Sdn. Bhd. dan Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Transformer Manufacturing Sdn. Bhd.
Beliau juga dilantik sebagai Profesor Adjung di Universiti Tenaga Nasional dalam bidang kejuruteraan elektrik kuasa.
Zahari banyak terlibat sebagai ahli panel dan sebagai pembentang kertas kerja dalam wacana dan simposium atau forum, berkaitan pengurusan tenaga dan aset samada di dalam dan luar negara.
“Anugerah ini sebagai bukti anak Malaysia mempunyai kepakaran dan telah dikenali serta menyumbang kepada industri tenaga di Malaysia dan dunia. Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi buat semua warga Malaysia ‘make a mark’ (buat tanda) di mata dunia,” katanya.
Enlit Asia 2022 telah diadakan di Bangkok, Thailand manakala, pada 2023 diadakan di Jakarta, Indonesia.
Pada tahun ini, majlis tersebut telah diadakan di Kuala Lumpur iaitu di MITEC dengan tema ‘Membolehkan Peralihan Tenaga Pelbagai Dimensi di Asean.’
Majlis penyampaian Power & Energy Awards 2024 sebagai pengiktirafan kepada pemain industri, utiliti dan syarikat (berkaitan kuasa dan tenaga) yang memberi sumbangan besar di Asean. – UTUSAN