[Tinjauan Fiskal 2025] Malaysia komited pelaksanaan cukai minimum global - Utusan Malaysia

[Tinjauan Fiskal 2025] Malaysia komited pelaksanaan cukai minimum global

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA menunjukkan komitmen terhadap pelaksanaan cukai minimum global (GMT) sebagai sebahagian daripada langkah pembaharuan fiskal untuk memperkukuh kewangan awam negara.

Langkah itu dijangka menyumbang kepada kemampanan fiskal jangka panjang dan menyokong kestabilan ekonomi melalui pelaksanaan rangka kerja cukai yang lebih telus dan cekap.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, Malaysia telah menyertai Rangka Kerja Inklusif OECD/G20 mengenai Erosion and Profit Shifting (BEPS) sejak 2017.

Katanya, pada Disember 2023, kerajaan telah meluluskan Rang Undang-Undang Kewangan (No. 2) 2023, yang menyelaraskan perundangan cukai dengan Peraturan Model Pillar Two OECD, merangkumi Income Inclusion Rule dan Undertaxed Profits Rule yang akan berkuat kuasa pada tahun kewangan bermula 1 Januari 2025.

“Langkah ini juga membolehkan Malaysia memperkenalkan cukai tambahan domestik bagi memastikan kutipan cukai mencukupi sebelum peraturan antarabangsa GMT berkuat kuasa.

“Ini merupakan satu pendekatan proaktif untuk melindungi asas cukai negara daripada risiko kehilangan hasil kepada bidang kuasa luar,” katanya.

Melangkah ke hadapan, laporan itu menyatakan bahawa pelaksanaan GMT bukan sahaja memerlukan pindaan undang-undang sedia ada, tetapi juga peningkatan dalam sistem pentadbiran cukai dan sumber manusia yang berkemahiran.

“Keupayaan ini penting bagi memastikan pematuhan peraturan cukai yang ditetapkan dan keberkesanan pelaksanaan cukai minimum global.

“Selain itu, kerajaan perlu terus merangka strategi pelaburan yang lebih menarik dengan mengurangkan karenah birokrasi dan meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan,” katanya.

Tambahnya, Malaysia juga akan terus menyertai forum percukaian antarabangsa untuk mematuhi piawaian global dan mengukuhkan kerjasama dengan pihak berkuasa cukai di peringkat antarabangsa.

“Melalui usaha ini, Malaysia dapat memastikan GMT dilaksanakan dengan lancar dan memberikan manfaat kepada ekonomi domestik serta mengekalkan keyakinan pelabur asing,” katanya.

Selain itu, laporan itu menyatakan bahawa kerajaan telah melaksanakan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024.

“Akta ini menjadi teras kepada strategi hasil jangka sederhana (MTRS) yang bertujuan meningkatkan hasil negara dan menambah fleksibiliti dalam menghadapi krisis ekonomi dan menyokong peningkatan kestabilan dan daya tahan makroekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya