[Tinjauan Fiskal 2025] Hutang luar Malaysia meningkat 6.9 peratus kepada RM1.32 trilion - Utusan Malaysia

[Tinjauan Fiskal 2025] Hutang luar Malaysia meningkat 6.9 peratus kepada RM1.32 trilion

HUTANG luar Malaysia meningkat sebanyak 6.9 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUTANG luar Malaysia meningkat sebanyak 6.9 peratus kepada RM1,328.2 bilion atau 68.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2024.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, peningkatan itu didorong oleh peningkatan pinjaman luar pesisir sektor korporat dan deposit bukan pemastautin.

“Pinjaman luar pesisir yang merupakan komponen terbesar hutang luar meningkat kepada RM711.9 bilion terutamanya untuk pengurusan mudah tunai dan kunci kira-kira.

“Pemegangan bukan pemastautin dalam sekuriti hutang berdenominasi ringgit meningkat sedikit kepada RM269.7 bilion dan hutang luar lain turut meningkat kepada RM200.3 bilion berikutan kredit perdagangan yang lebih tinggi terutamanya untuk tujuan import.

“Secara keseluruhan, hutang luar kekal terkawal mengambil kira profil kematangan dan mata wang yang terurus serta keperluan kehematan oleh BNM,” katanya.

Menurut laporan itu, sebanyak 57.5 peratus daripada jumlah hutang luar merupakan hutang yang akan matang dalam jangka masa sederhana dan panjang yang menunjukkan risiko pembiayaan semula diurus dengan baik.

“Dari aspek komposisi mata wang, satu pertiga daripada hutang luar adalah dalam denominasi ringgit manakala baki dalam mata wang asing,” ujarnya.

Sementara itu, hutang bagi sektor awam juga meningkat sebanyak 3.8 peratus kepada RM1,638.1 bilion atau 84.2 peratus daripada KDNK sehingga akhir Jun 2024, disumbangkan oleh peningkatan hutang Kerajaan Persekutuan yang merangkumi 74.9 peratus daripada jumlah hutang sektor awam.

Menurut laporan itu, hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,227.5 bilion atau 63.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2024.

Katanya, jumlah hutang terkumpul bagi setiap instrumen tidak melebihi had statutori yang ditetapkan di bawah perundangan berkaitan hutang.

“Hutang terkumpul Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatat 61.2 peratus daripada KDNK iaitu di bawah had statutori 65 peratus.

“Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan pinjaman luar pesisir juga masih di bawah had RM10 bilion dan RM35 bilion dengan jumlah hutang sebanyak RM6 bilion dan RM29.3 bilion,” katanya.

Mengulas laporan itu lagi, sebahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit yang merangkumi 97.6 peratus daripada jumlah hutang manakala baki 2.4 peratus dalam mata wang asing.

Sementara itu, hutang badan berkanun dijamin kerajaan meningkat kepada RM102.5 bilion berikutan terbitan sekuriti hutang oleh Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk tujuan pengeluaran pinjaman perumahan dan pendidikan.

“Hutang bersih bagi syarikat awam bukan kewangan (SABK) meningkat sedikit kepada RM308.1 bilion terutamanya berikutan aktiviti pembiayaan oleh Malaysia Rail Link Sdn. Bhd.

“Walau bagaimanapun, kenaikan ini sebahagiannya diimbangi oleh bayaran balik prinsipal hutang SABK yang matang termasuk Khazanah Nasional Berhad dan Tenaga Nasional Berhad.

“Secara keseluruhan, pendedahan hutang sektor awam kepada risiko tukaran asing adalah rendah memandangkan 90.7% daripada jumlah hutang merupakan dalam denominasi ringgit,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya