[Tinjauan Fiskal 2025] Hutang kerajaan RM1.23 trilion sehingga Jun 2024 - Utusan Malaysia

[Tinjauan Fiskal 2025] Hutang kerajaan RM1.23 trilion sehingga Jun 2024

HUTANG Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,227.5 bilion atau 63.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2024. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUTANG Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1,227.5 bilion atau 63.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2024.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, jumlah hutang terkumpul bagi setiap instrumen tidak melebihi had statutori yang ditetapkan di bawah perundangan berkaitan hutang.

“Hutang terkumpul Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dan Bil Perbendaharaan Islam Malaysia (MITB) mencatat 61.2 peratus daripada KDNK iaitu di bawah had statutori 65 peratus.

“Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) dan pinjaman luar pesisir juga masih di bawah had RM10 bilion dan RM35 bilion dengan jumlah hutang sebanyak RM6 bilion dan RM29.3 bilion,” katanya.

Mengulas laporan itu, sebahagian besar hutang Kerajaan Persekutuan adalah dalam denominasi ringgit yang merangkumi 97.6 peratus daripada jumlah hutang manakala baki 2.4 peratus dalam mata wang asing.

“Kebergantungan yang rendah kepada terbitan hutang dalam mata wang asing meminimumkan pendedahan kerajaan kepada risiko tukaran asing.

“Komposisi instrumen patuh syariah mencakupi MITB, MGII dan sukuk global mencatat 48.8 peratus daripada jumlah hutang atau RM599.1 bilion.

“Daripada jumlah ini, 96.6 peratus atau RM578.8 bilion merupakan MITB dan MGII manakala baki merupakan sukuk global dalam denominasi dolar Amerika Syarikat dengan nilai RM20.3 bilion,” katanya.

Sementara itu, menurutnya, jumlah hutang terkumpul merangkumi tempoh matang dan jenis instrumen yang berbeza.

“Bil perbendaharaan yang berjangka pendek dengan tempoh matang 3-, 6-, 9-. dan 12-bulan berjumlah RM20.5 billon manakala MGS dan MGII merupakan instrumen jangka masa sederhana dan panjang antara 3- hingga 30-tahun telah mencatat RM613.4 bilion dan RM564.3 bilion.

“Pinjaman luar pesisir pula mencatat sebanyak RM29.3 bilion terdiri daripada pinjaman pasaran RM26.1 bilion dan pinjaman projek RM3.2 bilion dengan tempoh matang antara 10- hingga 30-tahun.

“Pinjaman pasaran termasuk sukuk global dan bon Samurai manakala pinjaman projek dilaksanakan melalui perjanjian bilateral dan multilateral. Sebanyak 69.2 peratus daripada jumlah pinjaman luar pesisir adalah dalam denominasi dolar AS diikuti oleh yen (30.6 peratus) dan mata wang lain (0.2 peratus).

Sementara itu, pemegang hutang Kerajaan Persekutuan terdiri daripada pelabur pemastautin dan bukan pemastautin.

“Pada akhir Jun 2024, pemegangan pemastautin mencatat RM944.6 bilion iaitu 77 peratus daripada jumlah hutang dan institusi perbankan memegang komposisi terbesar sebanyak 29.5 peratus diikuti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (26.4 peratus) serta Bank Negara Malaysia (BNM) (5.2 peratus).

“Syarikat insurans memegang sebanyak 5.2 peratus diikuti oleh Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (2.8 peratus), institusi kewangan pembangunan (2.3 peratus) dan pemastautin lain (5.6 peratus).

“Pemegangan pelabur institusi jangka panjang yang lebih tinggi selaras dengan peningkatan terbitan kertas hutang jangka sederhana dan panjang. Keadaan ini mencerminkan strategi Kerajaan yang efektif dalam menguruskan profil kematangan hutang.

Di samping itu, pemegangan bukan pemastautin dalam hutang Kerajaan Persekutuan secara amnya stabil pada RM282.9 bilion atau 23 peratus daripada jumlah hutang dengan RM258.4 bilion sekuriti dalam denominasi ringgit meskipun kadar dasar global menyederhana.

“Syarikat pengurusan aset kekal sebagai pemegang bukan pemastautin terbesar dengan pegangan sebanyak 7.4 peratus diikuti oleh bank pusat/kerajaan (6.1 peratus) serta institusi perbankan (4.6 peratus).

“Pelabur institusi jangka panjang seperti dana persaraan dan syarikat insurans memegang sebanyak 3.8 peratus dan 0.7 peratus daripada jumlah hutang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya