[Tinjauan Fiskal 2025] Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka naik 5.5 peratus - Utusan Malaysia

[Tinjauan Fiskal 2025] Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka naik 5.5 peratus

KENAIKAN gaji penjawat awam dijangka memberikan impak positif kepada kutipan cukai pendapatan individu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASIL Kerajaan Persekutuan dianggar meningkat sebanyak 5.5 peratus kepada RM339.7 bilion berbanding jangkaan 2024 yang disemak semula sebanyak RM322.1 bilion, seiring dengan prospek ekonomi yang lebih baik pada 2025.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, hasil cukai diunjur sebanyak RM259 bilion berbanding jangkaan 2024 (RM241 bilion) terus menjadi penyumbang utama sebanyak 76.3 peratus kepada hasil keseluruhan atau 12.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Sementara itu, hasil bukan cukai dijangka mencecah RM80.7 bilion atau 3.9 peratus daripada KDNK, manakala kutipan cukai langsung diunjur meningkat sebanyak 6.6 peratus kepada RM188.8 bilion berbanding jangkaan RM81 bilion pada 2024, merangkumi 72.9 peratus daripada jumlah hasil cukai dengan jangkaan kutipan cukai pendapatan yang lebih tinggi.

Katanya, kutipan daripada cukai pendapatan syarikat (CITA) pula kekal sebagai penyumbang terbesar sebanyak RM106.5 bilion pada 2025 berbanding jangkaan 2024 sebanyak RM98 bilion, berikutan pelaksanaan e-Invois secara berperingkat dan prospek ekonomi yang lebih memberangsangkan.

“Bagi cukai pendapatan individu turut diunjur bertambah baik sebanyak 7.8 peratus kepada RM44 bilion berbanding jangkaan 2024 (RM40.8 bilion) sejajar dengan pasaran pekerjaan yang stabil dan gaji yang lebih baik.

“Selain itu, kenaikan gaji penjawat awam dijangka memberikan impak positif kepada kutipan cukai pendapatan individu dengan lebih ramai penjawat awam layak dikenakan cukai,” katanya.

Sementara itu, laporan itu menyatakan cukai pendapatan petroleum (PITA) diunjur merekodkan kutipan yang lebih rendah sebanyak RM20.7 bilion dengan jangkaan harga minyak mentah yang lebih rendah berbanding jangkaan 2024 sebanyak RM21.8 bilion.

“Tambahan pula, hasil daripada komponen cukai langsung yang lain seperti duti setem dan cukai keuntungan harta tanah (CKHT), masing-masing pada RM10.1 bilion dan RM1.8 bilion, dijangka lebih tinggi berdasarkan jangkaan peningkatan berterusan dalam pasaran hartanah.

“Cukai tidak langsung dijangka bertambah baik sebanyak 9.8 peratus kepada RM70.2 bilion dengan kutipan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menyumbang bahagian tertinggi laitu 66.5 peratus kepada jumlah keseluruhan sebanyak RM46.7 bilion atau 2.2 peratus daripada KDNK.

“Daripada jumlah ini, RM20.8 bilion adalah daripada cukai jualan manakala RM26 billon daripada cukai perkhidmatan seiring dengan pelaksanaan penuh kadar baharu cukai perkhidmatan serta peningkatan sentimen pengguna dan keyakinan perniagaan,” katanya.

Dalam pada itu, kutipan duti eksais pula diunjur meningkat kepada RM13.8 bilion berbanding jangkaan RM13.7 bilion pada 2024, selaras dengan jangkaan peningkatan dalam pengeluaran kenderaan bermotor pada 2025.

Bagaimanapun, hasil bukan cukai dianggar berkurang sebanyak 0.4 peratus kepada RM80.7 bilion, terutamanya disebabkan oleh hasil yang lebih rendah daripada pendapatan pelaburan.

“Dividen tahunan diterima, terutamanya daripada Petronas dijangka kekal sebanyak RM32 bilion diikuti BNM (RM4 bilion) dan Khazanah Nasional Berhad (RM2 bilion), manakala sebanyak RM4 bilion dijangka diterima daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) untuk membiayai sebahagian bayaran persaraan.

“Kutipan daripada lesen dan permit diunjur meningkat kepada RM16.7 bilion disumbangkan oleh hasil yang lebih tinggi daripada levi pekerja asing sebanyak RM3.7 bilion dan lesen kenderaan bermotor sebanyak RM3.4 bilion,” katanya.

Pada 2025, hasil berkaitan petroleum dijangka lebih rendah sebanyak RM62 bilion atau 18.3 peratus daripada jumlah hasil iaitu tiga peratus daripada KDNK dengan dividen Petronas merangkumi lebih separuh daripada jumlah keseluruhan.

“Sebaliknya, hasil bukan petroleum diunjur meningkat sebanyak 7.2 peratus kepada RM277.7 bilion mencerminkan kepelbagaian hasil yang lebih baik berikutan prospek ekonomi yang menggalakkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya