[Tinjauan Fiskal 2025] Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 disemak semula, dijangka naik 2.3% - Utusan Malaysia

[Tinjauan Fiskal 2025] Hasil Kerajaan Persekutuan 2024 disemak semula, dijangka naik 2.3%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HASIL Kerajaan Persekutuan pada 2024 telah disemak semula dan dijangka meningkat sebanyak 2.3 peratus kepada RM322.1 bilion berbanding 2023 sebanyak RM314.96 bilion.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, hasil cukai terus menjadi penyumbang utama kepada kutipan hasil keseluruhan pada RM241 bilion merangkumi 74.8 peratus daripada jumlah hasil.

“Hasil cukai kekal stabil pada 12.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencerminkan usaha berterusan oleh kerajaan untuk meluaskan asas cukai.

“Sementara itu, hasil bukan cukai dianggar berkurang sebanyak 5.5 peratus kepada RM81 bilion dengan bahagian yang lebih rendah iaitu 25.2 peratus kepada hasil keseluruhan,” katanya.

Laporan itu menyatakan cukai langsung diunjur meningkat sebanyak 3.3 peratus kepada RM177.1 billon, terutamanya disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan individu dan syarikat sebanyak RM139.3 bilion.

“Cukai pendapatan individu dianggar meningkat sebanyak lapan peratus kepada RM40.8 bilion berikutan pertumbuhan gaji yang stabil ditambah dengan bilangan pembayar cukai individu yang lebih tinggi.

“Hasil daripada cukai pendapatan syarikat (CITA) pula diunjur meningkat sebanyak 7.4 peratus kepada RM98.5 bilion berikutan pendapatan korporat yang lebih baik, terutamanya daripada sektor perkhidmatan dan pembuatan.

“Selain itu, pelaksanaan e-Invois yang telah dikuatkuasakan secara berperingkat bermula Ogos 2024 dijangka meningkatkan lagi kecekapan dan menyumbang kepada kutipan yang lebih baik.

“Bagaimanapun, cukai pendapatan petroleum (PITA) dianggar lebih rendah kepada RM21.8 bilion berikutan pengeluaran minyak mentah yang lebih rendah,” katanya.

Sementara itu, kutipan lain daripada cukai langsung terutamanya duti setem dan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) dianggar meningkat kepada RM10.9 bilion disumbangkan oleh urus niaga pasaran harta tanah yang lebih tinggi.

“Kutipan cukai tidak langsung dijangka meningkat sebanyak 10.6 peratus kepada RM64 bilion, didorong oleh kutipan cukai jualan dan cukai perkhidmatan (SST) serta duti eksais yang lebih tinggi.

“Cukai perkhidmatan pula diunjur melonjak sebanyak 25.8 peratus kepada RM21.5 bilion seiring dengan kenaikan kadar cukai daripada enam peratus kepada lapan peratus, di samping peluasan skop perkhidmatan yang antara lain termasuk perkhidmatan logistik, pembrokeran dan pengunderaitan berkuat kuasa 1 Mac 2024,” katanya.

Menurut laporan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), jualan kenderaan penumpang dalam tempoh lapan bulan pertama 2024 meningkat sebanyak lapan peratus berbanding tempoh yang sama 2023.

“Duti eksais dijangka meningkat sebanyak 4.1 peratus kepada RM13.7 bilion sejajar dengan pertambahan pengeluaran kenderaan bermotor berikutan lonjakan permintaan untuk kenderaan baharu.

“Selain itu, cukai jualan dianggarkan meningkat sebanyak 5.7 peratus kepada RM19.4 bilion berikutan jangkaan jualan kenderaan penumpang yang lebih tinggi dan pelaksanaan cukai barangan bernilai rendah mulai 1 Januari 2024,” katanya.

Sementara itu, hasil bukan cukai dianggar berkurang kepada RM81 bilion, terutamanya disebabkan pendapatan pelaburan lebih rendah, khususnya dividen daripada Petronas berjumlah RM32 bilion.

“Terimaan daripada lesen dan permit dijangka berkurang kepada RM16.5 bilion, terutamanya disebabkan oleh hasil royalti petroleum yang lebih rendah. Sebaliknya, beberapa komponen hasil bukan cukai diunjur meningkat dan mengimbangi kesan terimaan dividen Petronas yang rendah,” katanya.

Selain itu, kerajaan telah menerima dividen daripada Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM2.85 bilion, manakala RM1 bilion dijangka diterima daripada Khazanah Nasional Berhad.

“Sementara itu, kerajaan turut dijangka menerima hasil daripada langkah dapatan semula aset berjumlah RM2.3 bilion dan wang tidak dituntut dianggar berjumlah RM2 bilion berikutan penambahbaikan Akta Wang Tak Dituntut 1965 [Akta 370].

“Tempoh wang tidak dituntut yang dikreditkan ke dalam Akaun Hasil Disatukan telah dikurangkan daripada 15 tahun kepada 10 tahun di bawah Seksyen 11 Akta tersebut,” katanya.

Selain itu, laporan itu menyatakan, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dianggar menyumbang RM3 bilion untuk membiayai sebahagian bayaran persaraan tahun semasa.

“Kutipan lesen kenderaan bermotor juga dijangka stabil pada RM3.3 bilion seiring dengan peningkatan jualan kenderaan penumpang, manakala levi pekerja asing dianggar kekal pada RM3.7 bilion,” katanya.

Sementara itu, pada 2024 bahagian hasil berkaitan petroleum diunjur lebih rendah pada 19.6 peratus daripada jumlah hasil atau 3.2 peratus daripada KDNK.

“Hasil bukan petroleum dijangka meningkat sebanyak 8.3 peratus kepada RM259 bilion, disokong oleh kutipan lebih baik daripada hasil cukai yang mencerminkan usaha mempelbagaikan hasil serta prospek ekonomi positif pada 2024,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya