[Tinjauan Ekonomi 2025] Sektor perkhidmatan pemacu utama pertumbuhan - Utusan Malaysia

[Tinjauan Ekonomi 2025] Sektor perkhidmatan pemacu utama pertumbuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

EKONOMI negara diunjur berkembang antara 4.5 hingga 5.5 peratus pada 2025, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2025.

Menurut laporan itu, dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan yang disumbangkan oleh aktiviti pelancongan, eksport yang berterusan serta aktiviti berkaitan ICT yang rancak.

Katanya, industri berkaitan pelancongan terutamanya segmen makanan dan minuman, penginapan dan perdagangan runcit dijangka terus meningkat manakala segmen perdagangan borong serta pengangkutan udara dan air akan mendapat manfaat daripada aktiviti berkaitan perdagangan yang berterusan.

“Industri seperti utiliti dan perkhidmatan profesional dijangka berkembang seiring dengan kepesatan perkembangan ICT terutamanya pusat data,” katanya.

Laporan itu menyebut, sektor pembuatan dijangka terus berkembang berikutan prestasi lebih baik dalam industri berorientasikan eksport terutamanya segmen elektrik dan elektronik (E&E) didorong oleh permintaan luar untuk semikonduktor yang semakin meningkat.

Selain itu, industri berorientasikan domestik dijangka kekal menggalakkan selaras dengan penggunaan dan pelaburan domestik yang lebih tinggi.

“Sektor pembinaan dijangka mengukuh disumbangkan oleh pertumbuhan dalam semua subsektor. Prospek bagi sektor pertanian kekal positif disokong oleh peningkatan pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) dan permintaan daripada industri berkaitan makanan.

“Sebaliknya, sektor perlombongan dijangka merosot secara marginal disebabkan oleh penutupan loji berjadual bagi tujuan penyelenggaraan,” katanya.

Sementara itu, dari sudut permintaan, pertumbuhan akan disokong oleh perbelanjaan sektor swasta yang kukuh dan perdagangan global yang stabil.

“Penggunaan swasta yang menyumbang sekitar 60 peratus kepada ekonomi diunjur terus menerajui pertumbuhan disokong oleh pasaran buruh dan pertumbuhan pendapatan yang kukuh dalam persekitaran inflasi yang terkawal.

“Pembentukan modal tetap kasar atau jumlah pelaburan kekal tinggi didorong oleh pelaburan swasta yang direalisasikan, penyegeraan pelaksanaan projek strategik sektor awam dan inisiatif di bawah Program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-UP) serta projek baharu dan sedia ada yang berbilang tahun dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan,” katanya.

Selain itu, sektor luar negeri diunjur terus berkembang pada 2025 disokong oleh permintaan global yang stabil.

“Aktiviti perdagangan yang menggalakkan dijangka menyumbang kepada lebihan dalam akaun barangan manakala akaun perkhidmatan dijangka mencatat defisit lebih keil disumbangkan oleh aktiviti pelancongan yang lebih kukuh.

“Akaun pendapatan diunjur terus merekodkan aliran keluar bersih berikutan peningkatan aktiviti pelaburan.

“Sehubungan itu, akaun semasa dijangka mencatat lebihan sebanyak RM49.1 bilion atau 2.4 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK),” katanya.

Dari sudut pendapatan, pampasan pekerja (PP) dijangka meningkat disokong oleh antaranya pelaksanaan kadar gaji minimum baharu dan pelarasan kenaikan gaji penjawat awam.

Jelas laporan itu, peningkatan PP juga disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang mampan seterusnya menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya