SEKTOR perkhidmatan berkembang sebanyak 5.4 peratus pada separuh pertama 2024 dan dijangka kekal stabil pada separuh kedua, didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh berikutan peningkatan aktiviti berkaitan pelancongan dan perjalanan, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2025.
Secara keseluruhan, sektor itu diunjur berkembang sebanyak 5.3 peratus pada 2024 dengan kesemua subsektor mencatat pertumbuhan positif.
Menurut laporan itu, subsektor perdagangan borong dan runcit meningkat sebanyak 4.3 peratus pada separuh pertama 2024 dengan pertumbuhan yang berterusan terutamanya dalam segmen perdagangan runcit dan kenderaan bermotor dipacu oleh perbelanjaan pengguna yang bertambah baik.
“Subsektor ini dijangka berkembang sebanyak empat peratus pada separuh kedua 2024 disokong oleh pertumbuhan positif dalam semua segmen terutamanya perdagangan runcit dengan jangkaan peningkatan ketibaan dan perbelanjaan pelancong di samping perbelanjaan isi rumah yang terus berdaya tahan disokong oleh pertumbuhan pendapatan yang stabil serta pelaksanaan pelbagai program bantuan kewangan,” katanya.
Sementara itu, segmen kenderaan bermotor turut dijangka kekal kukuh berikutan permintaan tinggi untuk kenderaan baharu terutamanya kenderaan elektrik (EV) dan hibrid yang mencatat peningkatan jualan ketara di samping tempahan yang terus meningkat untuk kereta bersaiz kecil.
“Prestasi ini telah mendorong pihak industri menyemak semula sasaran jualan kenderaan daripada 740,000 kepada 765,000 unit bagi 2024. Justeru, subsektor ini diunjur berkembang sebanyak 4.1 peratus pada 2024,” katanya.
Menurut laporan itu, subsektor pengangkutan dan penyimpanan mencatat pertumbuhan dua digit sebanyak 10.7 peratus pada separuh pertama 2024 dipacu oleh segmen pengangkutan darat dan udara.
Katanya, prestasi memberangsangkan itu disokong oleh peningkatan jumlah trafik di lapangan terbang sebanyak 15.3 peratus kepada 46.6 juta penumpang dan lebuh raya bertol sebanyak 6.5 peratus kepada satu bilion kenderaan.
“Prestasi kukuh subsektor ini diunjur berterusan ke separuh kedua 2024 dengan mencatat pertumbuhan sebanyak 10.4 peratus,” katanya.
Katanya lagi, segmen pengangkutan darat dijangka berkembang didorong oleh peningkatan penumpang pengangkutan rel dan bas di Lembah Klang.
Sementara itu, pertumbuhan segmen pengangkutan udara dijangka kekal stabil sejajar dengan jumlah trafik penumpang udara yang lebih tinggi di samping pengenalan semula laluan antarabangsa dan penghantaran pesawat baharu serta program pengecualian visa untuk pelancong dari China dan India.
“Segmen pengangkutan air dijangka berkembang disokong oleh prestasi perdagangan yang berterusan terutamanya eksport barangan pembuatan dan pertanian. Secara keseluruhan, subsektor ini dianggar meningkat sebanyak 10.6 peratus pada 2024,” katanya.
Selain itu, subsektor hartanah dan perkhidmatan perniagaan berkembang sebanyak 9.1 peratus pada separuh pertama 2024 disokong oleh permintaan yang lebih tinggi untuk perkhidmatan profesional khususnya aktiviti berkaitan kejuruteraan.
Pada separuh kedua 2024, subsektor ini dijangka mencatat pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus disokong oleh peningkatan aktiviti urus niaga jualan daripada pemaju kepada pembeli dalam segmen hartanah dan permintaan untuk perkhidmatan profesional, saintifik dan teknikal.
Di samping itu, penambahbaikan skim visa Malaysia Rumah Kedua Ku pada Jun 2024 terus menyokong jualan segmen harta tanah mewah tempatan.
“Subsektor ini dijangka berkembang sebanyak 8.6 peratus pada 2024. Subsektor kewangan dan insurans meningkat sebanyak 5.2 peratus pada separuh pertama 2024 disumbangkan oleh pertumbuhan kredit dan pendapatan perkhidmatan pengantaraan kewangan yang lebih tinggi dalam segmen perbankan manakala segmen insurans mencatat pertumbuhan positif berikutan lonjakan dalam pendapatan premium,” katanya.
Pada separuh kedua 2024, subsektor kewangan dan insurans diunjur berkembang sebanyak 6.1 peratus seiring dengan pertumbuhan dalam semua segmen.
“Di samping itu, segmen perbankan dijangka mencatat pertumbuhan stabil berikutan permintaan berterusan untuk kemudahan kredit manakala segmen insurans akan dipacu oleh pendapatan premium yang lebih tinggi.
“Secara keseluruhan, subsektor ini dianggar kembali pulih sebanyak 5.7 peratus pada 2024,” katanya. – UTUSAN