[Tinjauan Ekonomi 2025] OPR kekal 3.0 peratus - Utusan Malaysia

[Tinjauan Ekonomi 2025] OPR kekal 3.0 peratus

OPR kekal tiga peratus setakat tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KADAR Dasar Semalaman (OPR) dikekalkan pada 3.00 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2025.

Menurut laporan itu, kadar ini kekal tidak berubah berikutan penilaian terperinci oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) terhadap keadaan ekonomi secara keseluruhan.

“Keputusan ini seiring dengan inflasi yang terkawal dan prospek semasa aktiviti ekonomi domestik yang kekal kukuh meskipun dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel. Hala tuju dasar Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka terus berpandangan ke hadapan dengan tumpuan untuk mengekalkan kestabilan harga bagi menyokong pertumbuhan ekonomi domestik yang mampan menuju 2025,” katanya.

Jelasnya, kadar pinjaman bank komersial kekal stabil seiring dengan pengekalan paras OPR.

“Pada akhir Julai 2024, kadar pinjaman terutamanya kadar pinjaman asas (BLR) kekal tidak berubah pada 6.68 peratus manakala, kadar pinjaman purata (ALR) berwajaran bagi pinjaman terkumpul kekal stabil pada 5.12 peratus.

“Kadar deposit berkurangan apabila bank komersial mula melaras strategi pembiayaan bagi mengurus kos dana dengan purata kadar deposit simpanan menyederhana kepada 0.87 peratus.

“Kadar deposit tetap bagi tempoh 1 hingga 12 bulan juga berkurangan kepada julat 2.52 peratus hingga 2.79 peratus,” katanya.

Dari perspektif global, kadar dasar di kebanyakan bank pusat mencapai kemuncak trend normalisasi pada 2023 sebelum kekal stabil bagi sembilan bulan pertama 2024.

“Dalam tempoh ini, bank pusat Filipina dan United Kingdom (UK) telah mula mengurangkan pengetatan dasar monetari pada Ogos 2024,” katanya.

Sementara itu, bank pusat Indonesia telah mengurangkan kadar dasar pada September 2024 selepas kadar dasar meningkat pada April 2024.

“Di samping itu, Rizab Persekutuan AS (Fed) telah mengurangkan kadar dasar yang pertama pada September 2024 dengan beberapa lagi penurunan dijangka dilaksanakan menjelang akhir tahun.

“Dasar monetari Malaysia kekal tidak terjejas dengan masa dan hala tuju pelaksanaan kadar dasar oleh bank pusat lain meskipun terdapat peralihan global ke arah pelonggaran dasar monetari dan terus mengambil kira perkembangan domestik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN