[Tinjauan Ekonomi 2025] Malaysia ada kelebihan muncul hab pembuatan automatif - Utusan Malaysia

[Tinjauan Ekonomi 2025] Malaysia ada kelebihan muncul hab pembuatan automatif

MALAYSIA mempunyai kelebihan daya saing untuk muncul sebagai hab pembuatan automotif serantau bagi kenderaan generasi seterusnya termasuk kenderaan elektrik (EV) - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA mempunyai kelebihan daya saing untuk muncul sebagai hab pembuatan automotif serantau bagi kenderaan generasi seterusnya termasuk kenderaan elektrik (EV) dan kenderaan cekap tenaga seperti digariskan dalam Dasar Automotif Negara 2020, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2025.

Menurut laporan itu, sebagai pengeksport semikonduktor keenam terbesar dalam rantaian bekalan elektrik dan elektronik (E&E global), ekosistem semikonduktor tempatan boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan rantaian nilai daripada segmen back-end khususnya aktiviti pemasangan, pembungkusan dan pengujian kepada segmen front-end dengan nilai tambah yang lebih tinggi seperti aktiviti pembuatan pintar, pembungkusan termaju dan reka bentuk litar bersepadu.

“Di samping itu, mobiliti hijau akan melonjakkan industri seperti bateri dan aktiviti motor elektrik. Tambahan pula, penggunaan bahan mentah tempatan untuk pengeluaran dan pembangunan keupayaan kitar semula bateri EV mempunyai potensi besar untuk meningkatkan lagi rantaian nilai dalam sektor pembuatan.

“Peningkatan permintaan bagi mobiliti hijau akan merangsang pertumbuhan sektor perkhidmatan dan pembinaan,” katanya.

Selain itu, subsektor pengangkutan dan penyimpanan akan mendapat manfaat daripada elektrifikasi flit kenderaan yang mengurangkan kos operasi dan memacu kecekapan syarikat logistik serta menyumbang kepada pelepasan karbon yang lebih rendah.

Sementara itu, subsektor utiliti akan mendapat manfaat daripada sumber TBB yang bersepadu untuk menjana kuasa stesen pengecasan EV dan menyokong peralihan grid tenaga yang lebih bersih.

“Ketersediaan infrastruktur pengecasan penting untuk menampung pengguna EV yang semakin meningkat terutamanya di kawasan bandar. Integrasi infrastruktur EV dalam perancangan dan pembangunan bandar masa hadapan juga akan menyokong inisiatif bandar hijau khususnya bangunan cekap tenaga dan bandar pintar seterusnya meningkatkan nilai dan daya tarikan harta tanah,” katanya.

Menurutnya, di bawah Dasar Tenaga Negara, 2022 – 2040, grid nasional sedang dinaik taraf untuk menampung permintaan yang semakin meningkat daripada pengguna isi rumah, komersial dan industri di samping memudahkan pelaksanaan rangkaian grid pintar. Kerajaan telah menetapkan komitmen melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) untuk meningkatkan pelaburan dalam campuran tenaga boleh baharu (TBB) dengan menumpukan kepada tenaga hidro, solar dan bio bagi meningkatkan kapasiti terpasang negara.

Di samping itu, pembangunan penyelesaian storan bateri berskala besar untuk mengurus bekalan tenaga daripada sumber boleh diperbaharui akan menyumbang kepada daya tahan tenaga yang lebih besar. Inisiatif tersebut dijangka meningkatkan pengeluaran ketara dalam segmen tenaga seterusnya menyokong keperluan infrastruktur mobiliti hijau.

Menurut laporan itu lagi, hidrogen hijau ialah sumber baharu muncul yang sedang diterokai sebagai potensi bahan api masa hadapan.

“Pembangunan sumber ini mash dalam fasa pemerhatian melalui usaha sama antara pemain industri yang tertump untuk memanfaatkan kelebihan kuasa hidro bagi menghasilkan hidrogen hijau. Usaha juga sedang dijalankan untuk membangunkan rangka kerja kawal selia yang komprehensif bagi menyokong dan menggalakkan pertumbuhan di sepanjang rantaian nilai tenaga hidrogen.

“Keperluan mematuhi piawaian ekonomi bahan api Asean telah mempercepat pembangunan bahan api mampan. Usaha meningkatkan pengeluaran bahan api mampan tempatan akan memanfaatkan limpahan sumber TBB negara bagi memenuhi permintaan domestik dan antarabangsa yang semakin meningkat,” katanya.

Dalam hal ini, Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menerajui pengeluaran bahan api mampan berikutan ketersedian biojisim yang tinggi daripada tandan buah kosong dan bahan buangan kilang kelapa sawit.

“Bahan api mampan juga akan menyumbang kepada usaha nyahkarbon sektor penerbangan dan marin seterusnya memastikan pematuhan kepada keperluan dan piawaian antarabangsa.

“Sehubungan itu, penskalaan pantas jumlah pengeluaran perindustrian penting bagi mengurangkan kos pengeluaran bahan api mampan, menggalakkan nyahkarbon industri logistik dan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

“Penggubalan dasar yang jelas dan penyedian sokongan yang diperlukan kekal penting dalam mempercepat penggunaan mobiliti hijau. Usaha bersepadu perlu dipergiat termasuk menarik pelaburan daripada pembuat kereta terkemuka untuk menubuhkan fasiliti pengeluaran di Malaysia,” katanya.

Kerajaan juga akan secara aktif menggalakkan kerjasama antarabangsa, memupuk usaha sama strategik dan menggalakkan perkongsian untuk pemindahan teknologi bagi memacu inovasi sekaligus meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam teknologi hijau untuk industri pengangkutan.

“Justeru, usaha tersebut dapat merangsang pertumbuhan industri dan membantu mencapai sasaran pelepasan karbon negara seperti digariskan dalam dokumen dasar strategik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya