[Tinjauan Ekonomi 2025] Kewangan sektor awam disatukan, dijangka berkurangan kepada RM41.7b - Utusan Malaysia

[Tinjauan Ekonomi 2025] Kewangan sektor awam disatukan, dijangka berkurangan kepada RM41.7b

KEWANGAN sektor awam disatukan, dijangka berkurangan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAKI sektor awam disatukan (CPS) pada 2024 dijangka berkurang kepada RM41.7 bilion berbanding RM70.5 bilion pada 2023 disebabkan oleh unjuran hasil syarikat awam bukan kewangan (SABK) yang lebih rendah.

Berdasarkan laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, perbelanjaan pembangunan (DE) disatukan dianggarkan meningkat 14.2 peratus kepada RM203.2 bilion berikutan peningkatan perbelanjaan modal terutamanya oleh SABK.

“Oleh itu, defisit keseluruhan CPS dijangka bertambah kepada RM161.5 bilion atau 8.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024 selepas semua pindahan, pinjaman bersih serta dividen dan cukai antara unit diasingkan,” katanya.

Menurut laporan itu, kedudukan kewangan disatukan SABK dijangka mencatat baki semasa lebih rendah sebanyak RM24.6 bilion pada 2024 disebabkan oleh penurunan kutipan hasil.

Katanya, hasil SABK diunjur sebanyak RM490 bilion atau 25.2 peratus daripada KDNK pada 2024 dengan hasil daripada subsektor minyak dan gas dijangka berkurang berikutan pengecilan margin keuntungan serta situasi mencabar dalam sektor penapisan dan petrokimia.

“Walau bagaimanapun, sektor tenaga dijangka mencatat peningkatan hasil secara marginal selari dengan unjuran pertumbuhan permintaan tenaga elektrik dan kelulusan tarif sepanjang tempoh tersebut.

“Jumlah perbelanjaan SABK dijangka meningkat kepada RM577 bilion atau 29.6 peratus daripada KDNK iaitu sekitar 81 peratus diperuntukkan untuk perbelanjaan semasa, manakala baki 19 peratus bagi perbelanjaan modal,” ujarnya.

Sementara itu, hasil kerajaan am disatukan dijangka meningkat secara marginal kepada RM384.7 bilion pada 2024 berikutan peningkatan kutipan cukai oleh Kerajaan Persekutuan.

“Perbelanjaan mengurus (OE) disatukan juga dianggar meningkat 3.2 peratus kepada RM368.7 bilion terutamanya disebabkan peruntukan emolumen yang lebih tinggi oleh Kerajaan Persekutuan. Oleh itu, baki semasa kerajaan am dijangka mencatat RM16 bilion.

“Walau bagaimanapun, DE disatukan dianggar berkurang 4.8 peratus kepada RM92.3 bilion terutamanya berikutan peruntukan DE oleh Kerajaan Persekutuan yang lebih rendah.

“Jumlah perbelanjaan dianggar meningkat sebanyak 1.5 peratus kepada RM461.1 bilion. Justeru, defisit disatukan kerajaan am dijangka meningkat kepada RM76.3 bilion atau 3.9 peratus daripada KDNK pada 2024 selepas semua pindahan dan pinjaman bersih diasingkan,” katanya.

Dalam pada itu, kutipan hasil disatukan kerajaan negeri dianggar berkurang 5.9 peratus kepada RM35.4 bilion pada 2024 dengan hasil janaan negeri yang utama adalah cukai jualan, royalti petroleum, pendapatan pelaburan dan cukai tanah.

Jelasnya, kutipan cukai yang terdiri daripada cukai langsung dan tidak langsung dijangka merekodkan RM11.4 bilion atau 32.4 peratus daripada hasil disatukan.

“Cukai langsung dianggar mencatat RM4.1 bilion yang sebahagian besar disumbangkan oleh cukai tanah berjumlah RM2.8 bilion. Cukai tidak langsung pula dijangka mencatat RM7.3 bilion yang terutamanya merangkumi cukai jualan, duti hiburan dan dius pelabuhan.

“Hasil bukan cukai dijangka mencatat RM14.1 bilion atau 39.8 peratus daripada hasil disatukan terutamanya daripada royalti petroleum, pendapatan pelaburan dan cukai tanah,” tambahnya.

Selain itu, terimaan bukan hasil terutamanya disumbangkan oleh pindahan dan geran daripada Kerajaan Persekutuan dianggar berjumlah RM9.8 bilion.

Tambahnya, jumlah perbelanjaan dijangka meningkat 13.5 peratus kepada RM33.6 bilion dengan OE disatukan meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM18.8 bilion terutamanya disebabkan oleh pertambahan emolumen serta perkhidmatan dan bekalan.

“Secara keseluruhan, kedudukan kewangan kerajaan negeri disatukan mencatat baki semasa lebih rendah sebanyak RM16.6 bilion susulan peningkatan OE disatukan yang melebihi penyusutan hasil. Oleh itu, baki keseluruhan dijangka mencatat defisit sebanyak RM2.2 bilion atau 0.1 peratus daripada KDNK,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN