[Tinjauan Ekonomi 2025] Kerajaan terus sokong projek infrastruktur - Utusan Malaysia

[Tinjauan Ekonomi 2025] Kerajaan terus sokong projek infrastruktur

KERAJAAN terus menyokong usaha meningkatkan keyakinan pelabur serta menarik penyertaan sektor swasta dalam pembiayaan projek infrastruktur berskala besar. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KERAJAAN terus menyokong usaha meningkatkan keyakinan pelabur serta menarik penyertaan sektor swasta dalam pembiayaan projek infrastruktur berskala besar dan pelaburan strategik lain yang memberikan manfaat sosioekonomi yang ketara melalui Jaminan Kewangan.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, Jaminan Kewangan berjumlah RM407.8 bilion atau 20.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada akhir Jun 2024 iaitu lebih rendah daripada had 25 peratus yang dinyatakan di bawah Jadual 1 Akta 850.

Katanya, sehingga akhir Jun 2024, baki jaminan terkumpul di bawah Akta 96 yang meliputi 26 entiti berjumlah RM330.8 bilion atau 17 peratus daripada KDNK.

“Berdasarkan pecahan segmen, projek infrastruktur kekal sebagai penerima terbesar iaitu mewakili 58.2 peratus daripada jumlah jaminan yang dikeluarkan dengan sebahagian besar pembiayaan bertujuan untuk melaksanakan projek pengangkutan awam seperti Transit Aliran Massa (MRT), Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) dan lebuh raya.

“Segmen kedua terbesar adalah perkhidmatan yang mewakili 29 peratus daripada jumlah jaminan terutamanya bagi pinjaman pendidikan dan pembiayaan rumah kakitangan awam.

“Segmen penerima jaminan lain meliputi utiliti (lima peratus), pegangan pelaburan (4.5 peratus), perladangan (2.1 peratus) dan kewangan (1.2 peratus). Lebih 85 peratus daripada jaminan kewangan terkumpul adalah terdiri daripada 10 penerima utama,” katanya.

Selain itu, laporan memberitahu, 88.1 peratus daripada jaminan terkumpul di bawah Akta 96 adalah dalam denominasi ringgit, sekali gus mengurangkan pendedahan risiko tukaran asing kepada kerajaan.

“Purata tempoh matang berwajaran bagi pembiayaan jaminan kekal 11 tahun dengan 52 peratus daripada jaminan bertempoh matang lebih 10 tahun,” ujarnya.

Sementara itu, komponen kedua Jaminan Kewangan terdiri daripada surat ikatan dan sokongan serta skim jaminan yang diberikan di bawah pentadbiran Akta 61 untuk tujuan tertentu seperti penstrukturan korporat, bantuan kewangan sementara dan pelaburan strategik.

“Sehingga akhir Jun 2024, pendedahan kerajaan daripada surat ikatan dan sokongan berjumlah RM30.1 bilion atau 1.5 peratus daripada KDNK, dengan Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) mewakili peratusan tertinggi iaitu 77.3 peratus daripada jumlah terkumpul.

“Skim jaminan pula merupakan instrumen yang diguna pakai oleh kerajaan bagi menyokong pelaksanaan inisiatif spesifik bertujuan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Jelasnya, terdapat tiga skim jaminan utama iaitu skim untuk perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan perniagaan pada masa ini.

“Skim ini diberikan di bawah Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan Berhad (SJPP), skim untuk pembeli rumah di bawah Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) serta skim untuk mempromosikan pembiayaan hijau melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS),” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN