KERAJAAN berhasrat untuk menyemak dan mengintegrasikan semua akta berkaitan jaminan di bawah satu perundangan yang komprehensif pada masa hadapan demi mengukuhkan tata kelola fiskal selaras dengan amalan terbaik dan piawaian antarabangsa.
Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025, kerajaan telah mempamerkan pendirian tegas dan komitmen kukuh terhadap ketelusan dan akauntabiliti fiskal melalui penggubalan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 [Akta 850].
Katanya, kerangka tadbir urus pengurusan risiko jaminan yang ditambah baik di bawah penggubalan Akta 850 menetapkan langkah penting kerajaan untuk memastikan kestabilan fiskal negara serta mengehadkan pendedahan risiko.
“Perkara ini dilaksanakan dengan mengenakan langkah sekatan, menggubal garis panduan pengurusan risiko yang komprehensif dan penzahiran telus jaminan kerajaan.
“Pendekatan baharu tersebut mampu meningkatkan keyakinan dan persepsi pelabur serta menambah baik penarafan kredit berdaulat negara,” katanya.
Laporan berkata, kerangka Ekonomi Madani menyediakan platform menyeluruh bagi agenda nasional dan mengenal pasti keutamaan ekonomi jangka masa sederhana dalam menstruktur semula ekonomi Malaysia ke arah yang lebih berdaya saing dan mampan.
Jelasnya, rangka kerja ini menekankan tadbir urus yang baik, penyampaian perkhidmatan awam yang tangkas dan kolaboratif serta kewangan awam yang kukuh sebagai pemacu utama.
Tambahnya, akta tersebut yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2024 penting dalam menguruskan risiko fiskal berkaitan jaminan kewangan, di samping beberapa sasaran dan had fiskal yang lain.
“Penggubalan Akta 850 buat pertama kalinya memberikan takrifan ‘jaminan kewangan’ yang merangkumi jaminan yang dikeluarkan di bawah empat akta iaitu Akta 61, Akta 96, Akta
412 dan Akta 66.
“Penyeragaman takrifan jaminan kewangan dapat menangani ketidakjelasan tafsiran jaminan seterusnya memperkemas disiplin fiskal serta memperkukuh pengurusan jaminan,” ujarnya. – UTUSAN