[Tinjauan Ekonomi 2025] Industri semikonduktor Malaysia berkembang pesat - Utusan Malaysia

[Tinjauan Ekonomi 2025] Industri semikonduktor Malaysia berkembang pesat

INDUSTRI semikonduktor Malaysia berkembang pesat sejak lima dekad lalu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INDUSTRI semikonduktor Malaysia berkembang pesat dan menjadi antara pemain utama dalam rantaian bekalan global sejak lima dekad yang lalu, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2025.

Dalam laporan tersebut, bermula pada 1971 dengan pengoperasian firma Amerika iaitu National Semiconductor, Malaysia kini telah menjadi lokasi kepada syarikat gergasi dalam pembuatan semikonduktor global termasuk Infineon Technologies, Texas Instruments, Intel dan TF-AMD yang memperkukuh keupayaan pembuatan semikonduktor negara.

“Selain itu, Malaysia juga berjaya melahirkan pemain tempatan utama seperti Inari, Vitrox, Oppstar, Pentamaster dan SkyeChip yang merupakan sebahagian daripada rantaian nilai semikonduktor global,” katanya dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2025.

Selain itu, industri semikonduktor terus memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi Malaysia dengan purata pertumbuhan tahunan 7.7 peratus dan purata bahagian daripada jumlah eksport sebanyak 19.5 peratus dalam tempoh 2009 hingga 2023.

“Industri ini turut menyumbang purata tahunan 4.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sepanjang tempoh tersebut

“Walaupun sumbangan industri semikonduktor agak kecil, namun Malaysia berhasrat untuk meningkatkan industri ini melalui pelaburan berkualiti yang merangkumi pemindahan teknologi bernilai tinggi, pembangunan bakat dan aktiviti yang mempunyai limpahan berimpak tinggi kepada negara selaras dengan keutamaan di bawah NIMP 2030,” katanya.

Sementara itu, kekuatan Malaysia dalam industri semikonduktor tertumpu kepada segmen back-end khususnya dalam aktiviti pemasangan, pembungkusan dan pengujian dengan penyertaan yang lebih rendah dalam segmen front-end.

“Sehubungan itu, NIMP 2030 telah menetapkan sasaran untuk mencapai nilai tambah yang lebih tinggi dalam segmen front-end di samping memodenkan segmen back-end bagi meningkatkan rantaian nilai semikonduktor,” katanya.

Dalam pada itu, Pelan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) yang diumumkan pada Mei 2024 merupakan sebahagian daripada NIMP 2030.

“Pelan ini bertujuan untuk memperkukuh peranan Malaysia dalam rantaian bekalan semikonduktor global dari aspek reka bentuk sehingga kepada pengeluaran produk semikonduktor bernilai tinggi.
“Langkah yang diambil termasuk mengutamakan pelaburan baharu dalam fabrikasi wafer dan aktiviti reka bentuk litar bersepadu.

“Inisiatif NSS yang komprehensif ini menunjukkan komitmen negara dalam meningkatkan pertumbuhan keseluruhan industri berteknologi tinggi serta memperkasakan tenaga kerja,” katanya.

Secara kesimpulan, industri semikonduktor Malaysia sedang melalui proses transformasi disokong oleh inisiatif strategik nasional dan visi yang sentiasa mengambil kira perubahan pada masa hadapan.

“Dasar nasional seperti kerangka Ekonomi Madani yang merangkumi pelaksanaan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan NSS menunjukkan komitmen Kerajaan untuk memperkukuh daya saing dan kemampanan industri pada peringkat global.

“Dasar dan pelan tindakan tersebut membolehkan Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik untuk mendepani kompleksiti pasaran semikonduktor global, memacu pertumbuhan dan menetapkan penanda aras kecemerlangan baharu pada masa akan datang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN