INDEKS FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menunjukkan trend peningkatan yang ketara bagi tempoh lapan bulan pertama 2024, menurut laporan Tinjauan Ekonomi 2025.
Pada Januari, indeks ini berjaya melepasi paras 1,500 mata dengan pantas dan mengatasi kebanyakan pasaran serantau meskipun berdepan ketidaktentuan kewangan global.
“Pemulihan ini didorong oleh keyakinan pelabur yang kukuh dengan jangkaan pulangan yang stabil susulan keputusan Rizab Persekutuan (Fed) untuk mengekalkan kadar faedah yang tinggi seterusnya memberikan isyarat ekonomi AS kekal pesat.
“Pada akhir Februari 2024, FBM KLCI melonjak kepada 1,551.44 mata dengan pertumbuhan sebanyak 6.7 peratus.
“Momentum positif ini dipacu oleh aliran masuk bersih ekuiti asing yang tinggi terutamanya dalam tempoh dua bulan pertama 2024 didorong oleh ekonomi China yang beransur stabil seterusnya memberikan manfaat kepada pasaran baru muncul termasuk Malaysia,” katanya.
Pada 7 Mei 2024, FBM KLCI mencapai prestasi tertinggi dalam sejarah dengan permodalan pasaran melebihi RM2 trilion manakala indeks penanda aras FBM KLCI melepasi paras 1,600 mata buat kali pertama dalam tempoh dua tahun dan ditutup pada 1,605.68 mata.
“Prestasi menggalakkan ini disokong oleh pelaksanaan program dan inisiatif di bawah kerangka Ekonomi Madani yang menetapkan hala tuju lebih jelas kepada pelabur mengenai pembangunan masa hadapan negara.
“Prestasi pasaran ini turut disokong oleh peningkatan keyakinan pelabur, jangkaan pemotongan kadar faedah oleh bank pusat utama dan prestasi ekonomi Malaysia yang kukuh,” katanya.
Dalam tempoh lapan bulan pertama 2024, FBM KLCI terus meningkat sebanyak 15.4 peratus dan ditutup pada paras 1,678.80 mata pada akhir Ogos.
“Paras ini merupakan pencapaian tertinggi sejak 16 Disember 2020 disumbangkan oleh prospek ekonomi yang positif dan pendapatan suku tahunan syarikat yang kukuh.
“Di samping itu, peningkatan selera risiko dalam kalangan pelabur asing turut menyumbang kepada persekitaran pasaran yang positif seperti ditunjukkan oleh aliran masuk bersih ekuiti asing terkumpul sebanyak RM3 bilion sehingga akhir Ogos seterusnya mencerminkan pasaran ekuiti Malaysia berdaya tahan,” katanya.
Pada akhir Ogos 2024, permodalan pasaran meningkat sebanyak 14.6 peratus kepada RM2,035.6 bilion manakala purata volum harian melonjak sebanyak 39.1 peratus kepada 4.8 bilion unit daripada 3.5 bilion unit.
“Purata nilai dagangan harian juga meningkat ketara sebanyak 70.9 peratus kepada RM3.6 bilion daripada RM2.1 bilion.
“Halaju pasaran sebanyak 42.5 peratus menggambarkan persekitaran dagangan yang aktif dengan turun naik pasaran kekal terkawal pada 8.4 peratus.
“Sementara itu, pegangan pelabur asing sebanyak 19.8 peratus daripada permodalan pasaran mencerminkan minat pelabur asing yang berterusan,” katanya.
Meninjau ke 2025, pasaran ekuiti domestik dijangka kekal berdaya tahan disokong oleh asas makroekonomi yang kukuh, mudah tunai domestik yang mencukupi dan instrumen pasaran modal yang maju. – UTUSAN