KUALA LUMPUR: Kementerian Digital mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Kepercayaan Digital dan Keselamatan Data (SKDKD) pada separuh pertama 2025.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, suruhanjaya itu akan mengawasi pembangunan ekosistem data yang selamat, terjamin dan dipercayai memupuk aliran data yang produktif.
“Saya akan mengadakan pertemuan dengan pemain industri pada Isnin untuk membincangkan perkara ini. Jawatankuasa ini akan membantu kami mencadangkan struktur untuk tadbir urus data ke depan.
“Ia adalah kerja yang sedang berlangsung dan diharapkan, dalam tiga bulan akan datang, menjelang akhir tahun, kami akan menerima maklumat tentang bagaimana ini (suruhanjaya) sepatutnya disusun.
“Setelah itu, kami akan menyediakan kertas Kabinet, membentangkan cadangan kepada Kabinet dan mengumpul maklum balas daripada kementerian lain. Kami bercadang untuk membuat pengumuman pada separuh pertama tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Malaysia Digital Exceleration (MDX) Summit 2024 di sini.
Dalam pada itu, Gobind turut memaklumkan Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) bakal diluncurkan pada pertengahan Disember tahun ini.
“Seperti yang saya maklumkan tadi, pelbagai urusan sedang dalam proses dan ada yang telah siap. Kami amat telus mengenai proses ini.
“Saya akan memberikan butiran mengenai perkara itu pada hari kejadian (peluncuran),” katanya.
NAIO dibina bagi menangani isu dasar kecerdasan buatan (A)I serta memupuk inovasi dan penyelidikan dalam teknologi AI generasi akan datang, termasuk algoritma pembelajaran yang dipertingkatkan dan pemprosesan bahasa yang lebih baik.
Teknologi ini akan memperbaiki kemampuan sistem dalam penaakulan, penglihatan dan pengambilan keputusan, serta meningkatkan keselamatan dan perlindungan data.
Dalam pada itu, persidangan MDX 2024 yang berlangsung selama dua hari bermula 24 hingga 25 Oktober menawarkan agenda menarik, termasuk perbincangan panel, pameran interaktif, serta peluang rangkaian yang bernilai tinggi.
Persidangan itu menghimpunkan pemimpin-pemimpin industri untuk membentuk masa depan landskap digital Malaysia, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai peneraju inovasi digital di Asia Tenggara.
MDX 2024 dijangka menarik lebih 3,000 peserta yang terdiri daripada pelabur antarabangsa, usahawan, syarikat pemula, penggubal dasar dan profesional digital, yang menyertai perbincangan untuk membentuk ekonomi digital Malaysia. – UTUSAN