KUALA LUMPUR: Sorento Capital Berhad (Sorento Capital), penyedia penyelesaian peralatan sanitari bilik mandi dan dapur tampil di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad dengan harga saham dibuka pada 37.5 sen, premium sebanyak 0.5 sen atau 1.35 peratus berbanding harga terbitan 37 sen, dengan jumlah pembukaan sebanyak 20.77 juta saham.
Penampilan mantap itu didorong oleh lebihan langganan tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 39.34 kali, yang mencerminkan keyakinan tinggi terhadap operasi perniagaan dan potensi pertumbuhan Sorento Capital.
Daripada RM57.4 juta yang dikumpul daripada IPO, sebanyak RM31.4 juta (54.7 peratus) telah diperuntukkan untuk modal kerja bagi pembelian inventori.
Baki RM6.0 juta (10.5 peratus) pula diperuntukkan untuk menyokong usaha penjenamaan dan promosi pemasaran, manakala RM6.0 juta (10.5 peratus) lagi disalurkan untuk pengembangan rangkaian pengedar dan peningkatan capaian pengedaran.
Dalam pada itu, RM9.0 juta (15.6 peratus) juga akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank dan baki RM5.0 juta (8.7 peratus) akan digunakan untuk menanggung perbelanjaan penyenaraian.
Pengarah Urusan Sorento Capital, Loo Chai Lai berkata, penyenarian syarikat itu menandakan pencapaian besar dan menarik buatnya ketika melangkah ke era baharu sebagai syarikat tersenarai awam.
“Pencapaian ini adalah bukti dedikasi dan kerja keras pasukan kami yang berjaya menavigasi industri peralatan sanitari bilik mandi dan dapur selama lebih dua dekad,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, dengan dana yang dikumpul daripada latihan IPO, syarikat merancang untuk merekrut kira-kira 200 pengedar baharu dalam tempoh tiga tahun akan datang di seluruh negara.
“Ini akan meningkatkan keterlihatan jenama kami dan memperluas bahagian pasaran, sekali gus memacu prestasi kewangan yang lebih kukuh.
“Sementara fokus jualan berasaskan projek kami pada masa ini tertumpu kepada projek kediaman, kami menyasarkan projek pembinaan baharu dan pengubahsuaian dengan meneroka segmen bangunan lain seperti perumahan mampu milik, hotel dan bangunan pejabat.
“Bagi memperkukuh kedudukan jenama kami, kami juga akan membangunkan video, infografik, dan perpustakaan sumber dalam talian yang akan menyediakan maklumat produk menyeluruh dan sokongan latihan kepada pengedar dan kakitangan jualan projek kami.
“Dengan kerjasama agensi pengiklanan, kami berhasrat meningkatkan penglibatan pelanggan, memperbaiki pengalaman pembelian secara keseluruhan, serta mengoptimumkan kehadiran kami melalui strategi pengoptimuman enjin carian dan pemasaran enjin carian,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Sorento Capital Berhad, Lee Chee Keong berkata, ketika mereka membuat persiapan untuk penyenaraian, keperluan pasaran bagi dasar-dasar alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG) adalah sebahagian penting, dan mereka melihat ini sebagai langkah positif ke hadapan.
“Memandangkan kami beroperasi dalam sektor air dan sanitasi, kami komited terhadap inisiatif penjimatan air, dan banyak produk kami telah memenuhi piawaian SPAN untuk Skim Pelabelan Produk Cekap Air (WEPLS).
“Selain itu, berkenaan dengan kemungkinan pelarasan harga, masih terlalu awal untuk menentukan butirannya, tetapi kami komited menawarkan penyelesaian mesra alam dan terus mengembangkan aspek ini dalam portfolio kami.
“Tumpuan kami kekal pada pembangunan produk yang lestari dan inovatif,” katanya. – UTUSAN