Simpanan tenaga bateri percepat peralihan tenaga boleh baharu - Utusan Malaysia

Simpanan tenaga bateri percepat peralihan tenaga boleh baharu

AIMI AIZAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS), seperti MYBESS yang dibangunkan oleh Citaglobal Berhad (Citaglobal) boleh memainkan peranan penting dalam menstabilkan grid dengan menyediakan pengawalan frekuensi, imbangan beban dan penstabilan voltan.

Sistem tersebut juga boleh meratakan turun naik kuasa melalui penyimpanan dan pelepasan tenaga lebihan yang cekap.

Pengarah Eksekutif Bahagian Tenaga Citaglobal, Aimi Aizal Nasharuddin berkata, Malaysia berada pada titik kritikal dalam peralihan tenaga.

Katanya, apabila negara mengintegrasikan lebih banyak tenaga boleh diperbaharui (TBB) ke dalam grid, fokus mestilah kepada pembangunan sistem yang berdaya tahan dan fleksibel yang mampu memenuhi keperluan yang semakin berkembang.

“Penyimpanan tenaga adalah kunci kepada transformasi ini kerana ia membolehkan kita menguruskan TBB dengan berkesan dalam membina masa depan yang lestari dan rendah karbon.

“Dengan sistem seperti MYBESS, kami bukan sahaja menyediakan asas untuk keselamatan tenaga, tetapi juga menawarkan bekalan TBB yang stabil pada kadar tarif yang kompetitif.

“Ini melalui inisiatif seperti Skim Pembekalan Elektrik Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS), yang membuka jalan kepada penggunaan tenaga bersih oleh syarikat korporat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas mengenai ketetapan Belanjawan 2025 mempercepatkan peralihan kepada TBB dan menyatakan penyelesaian tenaga simpanan memainkan peranan penting dalam menangani cabaran integrasi tenaga solar ke dalam grid nasional.

“Walaupun sumber TBB memberi manfaat kepada alam sekitar, ia secara semula jadi tidak stabil.

“Grid tenaga Malaysia, yang pada masa ini disokong terutamanya oleh loji janakuasa termal yang menggunakan arang batu dan gas asli sebagai bahan api, menghadapi cabaran untuk mengimbangi kuasa tidak menentu yang disumbangkan oleh stesen janakuasa solar yang disambung ke grid,” ujarnya.

Beliau berkata, MYBESS direka untuk menyimpan dan melepaskan tenaga lebihan secara cekap, menyediakan sokongan sandaran yang membantu menstabilkan grid dan meningkatkan kapasiti Malaysia untuk mengendalikan sumber tenaga yang tidak menentu seperti solar.

“Sistem ini melambangkan pendekatan Malaysia dalam menangani cabaran peralihan tenaga dengan penyelesaian yang disesuaikan mengikut keperluan spesifik negara,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya