Shahriman letak jawatan Pengarah Urusan Sapura Resources - Utusan Malaysia

Shahriman letak jawatan Pengarah Urusan Sapura Resources

SHAHRIMAN SHAMSUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah Urusan Hartanah dan Penerbangan Sapura Resources Bhd., Datuk Shahriman Shamsuddin mengemukakan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta, setelah diberi cuti selama hampir dua bulan.

Shahriman bersama abangnya, Tan Sri Shahril Shamsudin yang memegang 51.5 peratus saham tidak langsung dalam Sapura Resources, telah diberi cuti sejak 11 September lalu ketika syarikat itu memulakan siasatan terhadapnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Sapura Resources berkata, Shahriman telah meletak jawatan sebagai pengarah syarikat, melepaskan jawatan pengarah anak syarikat, termasuk SRB One Sdn. Bhd., Aero Handlers Sdn. Bhd., Aerodome Services Sdn. Bhd. dan Sapura Technics Sdn. Bhd., yang kini dalam prosiding penggulungan oleh mahkamah.

“Lembaga telah memutuskan untuk menerima peletakan jawatan Datuk Shahriman sebagai pengarah urusan syarikat dan mengakui peletakan jawatannya sebagai pengarah syarikat serta jawatan pengarah syarikat subsidiari tersebut.

“Lembaga pengarah komited untuk menegakkan standard tertinggi integriti dan tadbir urus korporat,” katanya.

Perebutan dalaman Sapura Resources dikatakan tercetus apabila Shahriman memfailkan petisyen kepada Mahkamah Tinggi pada 23 September lalu untuk menggulung Sapura Holdings Sdn. Bhd., syarikat pelaburan keluarga itu, di mana beliau dan Tan Sri Shahril Shamsudin memiliki pegangan langsung sebanyak 40.5 peratus setiap satu.

Sementara itu, Brothers Capital Sdn. Bhd., syarikat pelaburan mereka yang lain, memegang 15 peratus kepentingan dalam Sapura Holdings, manakala Datuk Rameli Musa memiliki empat peratus.

Aset yang dimiliki oleh Sapura Holdings, termasuk 51.1 peratus kepentingan dalam Sapura Resources dan 11 peratus kepentingan dalam Sapura Energy Bhd.

Selain itu, Tan Sri Shahril Shamsudin juga memegang kepentingan langsung sebanyak 18.4 peratus dalam Sapura Resources.

Syarikat pelaburan itu memiliki beberapa syarikat swasta yang terlibat dalam perniagaan seperti operasi kereta api, jam tangan mewah dan perkhidmatan untuk sektor pertahanan.

Susulan petisyen penggulungan itu, Sapura Resources pada 7 Oktober 2024 mengesahkan dengan Bursa Malaysia bahawa Datuk Shahriman Shamsuddin telah diberi cuti rehat berkuat kuasa 11 September, sementara menunggu siasatan berterusan.

Ketua Pegawai Korporatnya, Mai Eliza Mior Mohamad Zubir dilantik sebagai pegawai bertanggungjawab untuk menyelia sementara tanggungjawab pengarah urusan. Bagaimanapun, syarikat itu tidak mendedahkan sebab khusus untuk siasatan.

Tiga hari kemudian, Sapura Resources mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Datuk Shahriman Shamsuddin dan melantik pemangku pengarah urusan baharu iaitu Reza Abdul Rahim, yang dilantik semula daripada pengarah bukan eksekutif bukan bebas kepada pengarah eksekutif.

Sementara itu, Mai Eliza tidak lagi berperanan sebagai pegawai bertanggungjawab di syarikat itu. Sapura Resources bagaimanapun tidak memaklumkan sama ada surat tunjuk sebab itu dijawab oleh Shahriman.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya