Sebanyak 54% rakyat tidak bersedia hadapi risiko iklim

Sebanyak 54% rakyat tidak bersedia hadapi risiko iklim – Zurich Malaysia

SATU daripada kejadian banjir yang berlaku di ibu negara tahun ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kajian Daya Tahan Iklim oleh Zurich Malaysia mendapati bahawa 54 peratus rakyat negara ini merasa tidak bersedia menghadapi bencana iklim seperti banjir, gelombang haba, dan tanah runtuh.

Menurut kenyataan, walaupun 86 peratus responden menyatakan kebimbangan mengenai kesan perubahan iklim, kajian yang melibatkan 1,100 rakyat Malaysia itu menunjukkan wujudnya jurang antara kesedaran dan kesiapsiagaan.

Kajian itu menyatakan, golongan yang lebih muda berusia 18 hingga 29 tahun menunjukkan tahap kebimbangan tertinggi sehingga 90 peratus, manakala kekangan kewangan merupakan penghalang utama kesiapsiagaan bagi 38 peratus responden. 

“Secara keseluruhan, 53 peratus rakyat Malaysia sangat bimbang tentang kesan perubahan iklim terhadap generasi akan datang. 

“Bagaimanapun, tahap kebimbangan yang tinggi ini menurun dengan peningkatan usia, daripada 56 peratus dalam kumpulan usia 18 hingga 29 tahun kepada 25 peratus dalam kumpulan usia 65 tahun ke atas. 

“Ini menunjukkan tumpuan lebih besar terhadap pendidikan dan penglibatan dalam dalam isu ini perlu diberi kepada rakyat Malaysia yang lebih muda, yang berkemungkinan menghadapi kesan jangka panjang dari peningkatan bencana iklim,” katanya. 

Kajian itu menunjukan, banjir (75 peratus), gelombang haba (74 peratus), dan tanah runtuh (70 peratus) terus menjadi kebimbangan utama, dengan kebimbangan yang semakin meningkat (67 peratus) terhadap risiko infrastruktur bandar. 

 “Corak yang sama turut didapati mengikut kumpulan usia, dengan keseluruhan tahap kebimbangan semakin berkurang mengikut peningkatan usia.

“Dalam tempoh 12 bulan lalu, hampir satu pertiga responden (32 peratus) melaporkan terjejas secara langsung oleh bencana iklim yang buruk, dengan 38 peratus menyatakan bahawa keluarga mereka turut menjadi mangsa. 

“Di peringkat komuniti, 58 peratus melaporkan bahawa komuniti setempat mereka terjejas teruk akibat bencana iklim yang buruk, menunjukkan wujud kebimbangan lebih meluas mengenai bencana iklim yang bukan sahaja dialami oleh individu,” katanya 

Selain itu, kajian ini mendapati wujud korelasi songsang antara tahap pendapatan isi rumah bulanan dan kesiapsiagaan. 

“Sebanyak 49 peratus responden dari kumpulan B40 melaporkan mempunyai peruntukan, simpanan, pelan pemindahan dan sokongan kecemasan yang mencukupi bagi isi rumah mereka untuk menghadapi kemungkinan bencana iklim. 

“Namun, angka tersebut menurun kepada 44 peratus bagi isi rumah M40 dan 39 peratus bagi isi rumah T20, menunjukkan  isi rumah berpendapatan tinggi mungkin mempunyai jangkaan lebih tinggi untuk kesiapsiagaan, justeru memberi persepsi bahawa mereka kurang bersedia,” jelasnya. 

Kajian ini turut menunjukkan sokongan dan penerimaan tinggi terhadap amalan lestari, yang mengambil inisiatif ke arah gaya hidup lebih hijau. 

“Mereka mengutamakan pengurusan sisa lestari (63 peratus), membeli produk mesra alam (50 peratus) dan mengurangkan penggunaan tenaga (60 peratus). 

“Trend ini mencadangkan penekanan terhadap tindakan bermakna yang boleh diintegrasikan dengan mudah ke dalam kehidupan harian,” menurut kajian itu. 

Sementara itu, Ketua Negara dan Ketua Pegawai Eksekutif Zurich Malaysia, Junior Cho  berkata, kajian itu bertujuan untuk pihaknya mendapatkan pemahaman yang lebih mendalam mengenai persepsi, kesiapsiagaan dan pengalaman orang ramai mengenai kesan perubahan iklim. 

“Dengan memahami persepsi komuniti terhadap perkara itu, kami dapat merangka strategi yang sesuai bagi mengukuhkan daya tahan iklim, meningkatkan usaha adaptasi tempatan dan menggalakkan amalan lestari di kawasan bandar,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya