KUALA LUMPUR: Pameran Farmaseutikal & Penjagaan Kesihatan Asia Tenggara (SEACare) 2025 bakal dianjurkan dari 23 hingga 25 April depan mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab perniagaan bagi penjagaan kesihatan di rantau ini.
Acara yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu dijangka menarik 15,000 pengunjung perdagangan dan 500 pempamer dari seluruh dunia, susulan kejayaan SEACare 2024, yang menjana potensi jualan RM685.3 juta dan 8,100 pengunjung dari 61 buah negara.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, bagi tempoh 25 tahun, SEACare telah menjadi asas dalam landskap penjagaan kesihatan, menyatukan pemain utama dari seluruh Asia Tenggara dan di peringkat global.
“Dengan peruntukan RM45.3 bilion dalam Belanjawan 2025 baru-baru ini, mewakili peningkatan 9.8 peratus daripada peruntukan sebanyak RM41.2 bilion tahun ini, kerajaan menetapkan laluan untuk membina sistem penjagaan kesihatan berdaya tahan untuk melayani setiap rakyat Malaysia.
“Saya optimis bahawa SEACare 2025 akan menjadi pemacu utama inisiatif ini dengan memupuk kerjasama dalam kalangan pemimpin industri, mempamerkan penyelesaian termaju dan mempercepatkan pembangunan dalam teknologi perubatan dan inovasi,” katanya pada majlis pra-pelancaran SEACare 2025 di sini, semalam.
Dalam majlis yang sama, Qube Integrated Malaysia Sdn. Bhd. (Qube) selaku penganjur SEACare 2025 turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) untuk acara berkenaan.
Pengerusi Eksekutif Qube, Richard Teo berkata, kerjasama dengan Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) dan MDA mencerminkan komitmen pihaknya untuk memberi impak positif di luar lingkungan perniagaan.
“Melalui inisiatif ini, kami juga dapat menyokong usaha penting NCSM dalam penjagaan kanser, memastikan kejayaan SEACare turut memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
SEACare 2025 disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan akan menampilkan Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) yang merupakan inisiatif utama bertujuan menghubungkan pembekal tempatan dengan pembeli antarabangsa. – UTUSAN