KUALA LUMPUR: Supreme Consolidated Resources Sdn. Bhd., (SCRB) melancarkan prospektus sempena pemindahan penyenaraiannya dari Pasaran LEAP ke Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 29 November ini dengan sasaran untuk mengumpul RM17.5 juta.
Syarikat barangan pengguna bergerak pantas (FMCG) yang berpusat di Sarawak itu dijangka mengumpul dana tersebut menerusi penerbitan 70 juta saham biasa baharu pada harga tawaran awam permulaan (IPO) 25 sen sesaham.
Berdasarkan modal saham syarikat yang diperbesar kepada 430 juta saham dan harga IPO tersebut, permodalan pasaran dianggarkan sekitar RM107.5 juta.
Hasil yang diperoleh dari IPO ini akan membolehkan syarikat memenuhi fasa seterusnya dalam pengembangan perniagaan.
SCRB memperuntukkan 62.86 peratus daripada hasil untuk membiayai pengembangan kemudahan gudang, 22.86 peratus untuk modal kerja dan baki hasil akan digunakan untuk perbelanjaan berkaitan penyenaraian.
Pengembangan kemudahan gudang syarikat akan berfungsi sebagai pusat pengedaran tambahan dan dijangka akan menyokong pengembangan produk SCRB.
Ia akan merangkumi kawasan gudang baharu, kemudahan penyimpanan sejuk (ruang beku) pejabat serta kawasan pemuatan dan kawasan pemunggahan.
Pengerusi Eksekutif Tidak Bebas SCRB, Datuk Richard Wee Liang Chiat berkata, pada masa ini, SCRB mempunyai dua pusat pengedaran yang dilengkapi dengan kemudahan gudang dan penyimpanan sejuk di Sarawak, yang terletak di Kuching mempunyai kapasiti 2,600 palet dan Miri pula terdapat 680 palet untuk menyokong penyimpanan dan pengedaran pelbagai jenis produk pengguna.
“Kita berharap dengan pengembangan ini dapat meningkatkan jumlah kapasiti kepada 1,500 palet atau 60 peratus daripada jumlah daripada kapasiti di kedua-dua lokasi (Kuching dan Miri),” katanya kepada pemberita selepas melancarkan prospektus hari ini.
Liang Chiat berkata, syarikat juga berhasrat meneroka peluang perniagaan baharu di Kalimantan, Indonesia tidak lama lagi.
Beliau menjelaskan, ini bukan sekadar satu pencapaian ia adalah bukti hampir 40 tahun dedikasi dan komitmen terhadap kecemerlangan dalam pengedaran dan penyimpanan jenama pihak ketiga serta produk berjenama dalaman syarikat, untuk menjadi rujukan dan platform bagi mengekalkan dan mengembangkan perniagaan.
“Kami percaya ini akan menyediakan platform yang lebih besar untuk pengumpulan dana dan akses kepada modal bagi rancangan pertumbuhan kami.
“SCRB akan memberi tumpuan kepada tiga strategi utama iaitu meningkatkan rangkaian produk kami, memperluas rangkaian pengedaran di Sarawak dan Sabah, serta meningkatkan kapasiti gudang untuk memenuhi keperluan syarikat yang semakin berkembang,” tambahnya.
Tempoh permohonan IPO SCRB akan bermula hari ini dan ditutup pada pukul 5 petang, 15 November 2024.
Kenanga Investment Bank Berhad adalah Penasihat Utama, Penaja, Penjamin dan Ejen Penempatan untuk IPO ini. – UTUSAN