KUALA LUMPUR: Sentosa Jaya Capital Sdn. Bhd. melancarkan Saham2u, platform pembiayaan pelaburan ekuiti atas talian yang pertama seumpamanya di Malaysia.
Pengerusinya, Prof. Datuk Dr. Norbik Bashah Idris berkata, platform Saham2u menawarkan produk pembiayaan margin saham yang inovatif dan patuh syariah.
Menurut beliau, ia sejajar dengan komitmen syarikat menyediakan perkhidmatan kewangan, selaras dengan keperluan pelabur, khususnya beragama Islam.
“Pelancaran ini merupakan langkah strategik dalam transformasi digital sektor kewangan di Malaysia.
“Kami berhasrat untuk memudahkan akses pelaburan dengan menyediakan platform yang telus, mudah digunakan, dan dipercayai oleh pelabur.
“Sebagai sebuah Syarikat Kewangan Kredit Komuniti dibawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Sentosa Jaya Capital sentiasa komited menyediakan produk dan perkhidmatan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara melalui peningkatan akses kepada pembiayaan dan pelaburan.
“Platform itu dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan yang tinggi dengan kerjasama bersama syarikat MSC TrustGate.Com Sdn. Bhd. untuk menjamin keselamatan data dan transaksi para pengguna,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran platform Saham2u di sini, semalam.
Turut hadir dan merasmikan platform itu, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Wira M Noor Azman Said.
Jelas Norbik Bashah, platform itu memberikan peluang untuk melakukan transaksi tanpa perlu hadir secara fizikal, menggunakan teknologi digital sepenuhnya.
“Salah satu ciri utamanya adalah penggunaan tandatangan digital, yang diiktiraf secara sah di mahkamah, memastikan keselamatan transaksi.
“Semua proses dilakukan secara atas talian melalui peranti seperti telefon atau komputer riba. Transaksi dapat diselesaikan dengan mudah dari mana sahaja,” katanya. – UTUSAN