PTP pertingkat kapasiti dengan empat kren dermaga baharu

PTP pertingkat kapasiti dengan empat kren dermaga baharu

PTP menandatangani perjanjian bersama Sany Marine Heavy Industry.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), syarikat usahama di antara Kumpulan MMC dan APM Terminals menandatangani perjanjian bersama Sany Marine Heavy Industry Co. Ltd. untuk pembelian empat kren dermaga Super Post Panamax (SPP) baharu.

Perolehan kren dermaga terbaharu itu akan meningkatkan lagi kapasiti operasi PTP dengan menyokong rancangan strategik perniagaan melalui penambahan keseluruhan jumlah semasa jentera kren dermaga PTP berjumlah 58 unit.

Perjanjian terbaharu itu juga merupakan susulan perolehan 11 kren dermaga, yang mana enam daripadanya merupakan pembelian bersama Sanya pada Februari tahun ini, bertujuan memperkukuhkan keupayaan operasi semasa PTP.

Pengerusi PTP, Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh berkata, perolehan kren dermaga tercanggih itu merupakan langkah penting dalam usaha PTP terus memberikan perkhidmatan cemerlang kepada para pelanggannya.

“Ini akan memperkukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab pindah kontena utama dan pemain penting dalam industri maritim serantau.

“Kren-kren dermaga baharu ini akan meningkatkan dan mengukuhkan lagi kapasiti kendalian PTP dengan ketara, sekali gus membolehkannya mengendalikan kapal-kapal kontena mega secara efisyen, kendalian kargo, dan memberikan perkhidmatan terbaik dan memastikan rantaian dagangan tanpa gangguan,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTP, Mark Hardiman berkata, perolehan kren tersebut juga merupakan sebahagian daripada strategi pemodenan dan penyelengaraan berterusan jentera terminal PTP.

“Perolehan ini membolehkan pihak PTP terus mengendalikan peningkatan jumlah kargo secara lebih efisyen, dan membolehkan jarak masa peralihan diantara kapal diurus dengan lebih pantas, serta menambahbaik baik operasi pelabuhan secara keseluruhan. 

“Ini akan membawa kesan kepada hasil yang lebih lancar dan mudah diramal kepada semua pihak berkepentingan, sambil membolehkan pihak PTP mengekalkan standard keselamatan tertinggi.

“Perkembangan ini merupakan refleksi kepada langkah dan dedikasi yang diambil pihak syarikat dalam mengutamakan tahap keselamatan dan kepuasan pelanggan melalui perkhidmatan cemerlang berasaskan kecekapan terminal dan kapasiti diperluaskan,” katanya. 

Kren baharu itu dijangka tiba pada lewat 2025.

PTP telah berjaya mencipta rekod baharu yang luar biasa pada Julai 2024, mengendalikan 1,115,181 TEU dalam sebulan tanpa mengalami sebarang kesesakan. 

Pencapaian ini merupakan refleksi kepada prestasi mampan PTP yang telah mengendalikan lebih satu juta TEU selama tiga bulan berturut-turut, bermula pada Mei tahun ini. 

Selain itu, pada 22 September 2024, PTP turut melepasi rekodnya sendiri dengan mengendalikan sebanyak 14,036 pergerakan kontena dalam satu syif 12 jam.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN