PETALING JAYA: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi memperkukuhkan kualiti industri pembinaan dan pembangunan projek-projek PR1MA.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan merangkap Anggota Perbadanan PR1MA, Datuk Seri Mohd. Nazri Md. Shariff berkata, MoU itu mencerminkan komitmen PR1MA dalam menyediakan kediaman mampu milik berkualiti tinggi dengan menerapkan teknologi pembinaan terkini serta mempertingkatkan keupayaan tenaga kerja PR1MA.
Beliau berkata, kerjasama dengan CIDB itu diharapkan dapat meneruskan mandat untuk menyediakan kediaman yang berkualiti, selamat dan lestari untuk manfaat rakyat Malaysia
“Kerjasama ini juga akan dapat mempercepatkan pembangunan rumah mampu milik di seluruh negara, selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kediaman yang berkualiti.
“Dengan penggabungan inovasi teknologi dan program latihan khusus ini, PR1MA dan CIDB berupaya meningkatkan daya saing kontraktor tempatan seterusnya memberi impak positif kepada ekonomi negara selaras dengan nilai teras Malaysia Madani, yang menekankan kesejahteraan rakyat, keadilan sosial dan kemampanan dalam pembangunan,” katanya dalam kenyataan.
MoU ini telah ditandatangani oleh Mohd. Nazri dan Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Sr Mohd. Zaid Zakaria semasa Majlis CIDB QUEST Award bersempena International Construction Week (ICW) 2024 itu disaksikan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Demi memperkukuh kerjasama yang sedia terjalin antara kedua-dua organisasi, MoU antara PR1MA dan CIDB ini secara keseluruhannya melibatkan beberapa objektif utama, termasuk penerapan teknologi pembinaan terkini seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM).
Selain itu, ujar beliau, ia juga menerapkan Sistem Penilaian Kualiti untuk Kerja Pembinaan Bangunan (QLASSIC) dengan syarat keperluan projek PR1MA bagi QLASSIC adalah sekurang-kurangnya 70 peratus dan Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC).
“PR1MA dan CIDB juga akan mewujudkan Pusat Kecemerlangan (COE) bagi tujuan latihan dan perkongsian maklumat serta akan memainkan peranan penting dalam pembangunan teknologi pembinaan di Malaysia.
“Kerjasama ini turut melibatkan pelaksanaan Program Pembangunan Kontraktor yang akan merekod dan menilai keupayaan kontraktor dalam melaksanakan projek berteknologi tinggi, justeru meningkatkan lagi kredibiliti kontraktor di dalam sektor pembinaan,” ujarnya.
PR1MA dan CIDB juga akan memperkenalkan program latihan kemahiran dan kompetensi yang melibatkan kontraktor serta kakitangan di bawah PR1MA dan CIDB.
Keterlibatan itu termasuk pertukaran kakitangan antara agensi dan program perintisan untuk meningkatkan keupayaan sumber manusia dalam sektor pembinaan.
Setakat Oktober 2024, PR1MA mempunyai 89 projek, bersamaan 54,660 unit di seluruh Malaysia yang berada dalam pelbagai fasa pembangunan.