PPZ-MAIWP permudah bayaran zakat dengan MyMajikan

PPZ-MAIWP permudah bayaran zakat dengan MyMajikan

ABDUL Hakim Amir Osman (belakang, sembilan dari kiri) bergambar bersama penerima Anugerah Majikan Terbaik PPZ-MAIWP, di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, semalam.-UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) memperkenalkan sistem MyMajikan yang dibangunkan bagi menggantikan sistem yang digunakan sebelum ini iaitu e-FEM. 

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Abdul Hakim Amir Osman berkata, hasil penelitian dalaman dan maklum balas dari pihak majikan telah membawa langkah untuk memperbaharui sistem ini bagi memudahkan kedua-dua pihak.

Katanya, sama seperti e-FEM, objektif sistem MyMajikan ini adalah untuk memudahkan pihak majikan menguruskan pembayaran zakat kakitangan mereka melalui potongan gaji secara bulanan.

“Alhamdulillah, setelah meneliti setiap respon dan maklum balas pengguna, kami telah menambah baik sistem kami dengan menyediakan ciri-ciri yang lebih mesra pengguna.

“Jika sebelum ini bayaran zakat kakitangan hanya boleh dilakukan secara manual sahaja, kini majikan boleh terus membuat bayaran secara dalam talian dan boleh terus mendapatkan resit bayaran.

“Majikan juga boleh memantau status bayaran dan menyemak semula rekod bayaran bagi mengelakkan berlakunya keciciran bulan potongan zakat kakitangan serta pelbagai fungsi lain. 

“Kami juga telah menambah baik ciri-ciri sistem agar lebih mesra pengguna, membolehkan bayaran dilakukan terus dan resit diperoleh dengan cepat,” katanya semasa Majlis Mesra Majikan 2024 disini, semalam. 

Pada majlis sama, PPZ-MAIWP turut menyampaikan Anugerah Majikan Terbaik kepada 20 majikan. 

“Anugerah ini adalah sebagai tanda penghargaan kerana telah memberikan kerjasama cemerlang dalam menguruskan bayaran potongan zakat bulanan kakitangan. 

“Tahniah saya ucapkan kepada majikan terpilih kerana telah memberi komitmen yang baik sehingga layak menerima anugerah,” katanya. 

Pemilihan majikan adalah berdasarkan kriteria seperti membuat bayaran potongan zakat kakitangan pada bulan semasa, peningkatan peratusan kutipan tahunan zakat melalui potongan bulanan berbanding tahun sebelumnya dan berjaya meningkatkan bilangan pembayar zakat melalui potongan gaji sekurang-kurangnya 80 peratus kakitangan Islam. 

Majikan yang memenuhi syarat ini layak menerima wakalah sebanyak 37.5 peratus. 

Antara majikan yang menerima anugerah ini ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Bank Islam Malaysia Berhad, Boustead Petroleum Marketing Sdn. Bhd., Shell Business Service Centre Sdn. Bhd., Universiti Malaya, Al Rajhi Banking & Investment Corporation (M) Sdn. Bhd., Prokhas Sdn. Bhd. , dan Koperasi Ladang.

Majikan lain yang turut menerima, termasuklah GMA Resources Sdn. Bhd., Payment Network Malaysia Sdn. Bhd. , Markas Angkatan Tentera Malaysia, Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Rahim & Co International Sdn. Bhd., Keretapi Tanah Melayu Berhad, Kementerian Kesihatan Malaysia, International Centre for Education in Islamic Finance (INCEIF), Winner Venture Sdn.Bhd. dan Digital Nasional 

Turut diadakan penyerahan sumbangan Kafalah Muzakki atau khairat kematian kepada waris kakitangan Matrade yang merupakan pembayar zakat PPZ-MAIWP.

Untuk rekod, kutipan zakat setakat Januari hingga September 2024 adalah sebanyak RM686.52 juta dengan jumlah pembayar sebanyak 407,613 orang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya