Pertumbuhan KDNK buka peluang pekerjaan, galak pelaburan - Utusan Malaysia

Pertumbuhan KDNK buka peluang pekerjaan, galak pelaburan

PERTUMBUHAN ekonomi yang lebih tinggi akan membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan minat syarikat teknologi antarabangsa untuk mengukuhkan kedudukan di negara ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi Malaysia yang lebih tinggi akan membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan minat syarikat teknologi antarabangsa untuk mengukuhkan kedudukan di negara ini.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, sudah pasti banyak peluang pekerjaan yang akan diwujudkan kerana peniaga-peniaga akan sentiasa bersaing bagi mendapatkan keuntungan.

“Permintaan terhadap teknologi dijangka meningkat disebabkan firma dan syarikat ini mahu mengukuhkan kedudukan mereka dan menaikkan penguasaan saham pasaran.

“Justeru, situasi ini akan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara tahun ini dan seterusnya,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, momentum ini akan berterusan dengan pertumbuhan dijangka berlegar sekitar 5.0 peratus untuk suku semasa.

“Pasaran buruh yang telah mencapai guna tenaga penuh dan aktiviti pelaburan swasta yang dijangka terus meningkat serta sumbagan dari sektor luaran yang positif akan menjadi pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi pada suku keempat,” ujarnya.

Kelmarin, Jabatan Perangkaan menerbitkan anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar berkembang pada 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, lanjutan daripada peningkatan kukuh 5.9 peratus pada suku sebelumnya

Sementara itu, penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, tidak menghairankan jika ekonomi negara menunjukkan prestasi baik pada suku ketiga.

Jelasnya, seperti yang dilaporkan sebelum ini, perdagangan Malaysia dari Januari hingga September 2024 meningkat 10.2 peratus kepada RM2.14 trilion, melepasi ambang RM2 trilion dalam tempoh sembilan bulan sahaja, berbanding 10 bulan pada 2023.

“Momentum itu dijangka berterusan pada suku keempat berdasarkan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan yang terus berdaya tahan, walaupun terdapat ramalan perlahan perdagangan antarabangsa China, yang merupakan rakan dagang terbesar Malaysia,” ujarnya.

Dalam pada itu, TA Research menyemak naik unjuran pertumbuhan KDNK untuk tahun penuh kepada 5.0 peratus berbanding 4.7 peratus sebelum ini, susulan anggaran awal ekonomi Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga 2024.

Firma penyelidikan itu juga menyemak naik unjuran pertumbuhan sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga daripada sebelum ini 4.7 peratus sebelum ini dan 4.7 peratus untuk pada suku keempat daripada 4.2 peratus.

“Tinjauan pertumbuhan awal kami yang lebih sederhana sebahagian besarnya dibentuk oleh kesan jangkaan pelarasan subsidi diesel dan normalisasi aktiviti pembinaan, berikutan pertumbuhan dua digit yang teguh yang dilihat pada separuh pertama tahun ini.

“Faktor-faktor ini pada mulanya mendorong kami untuk menjangkakan kelembapan, tetapi data terkini menunjukkan persekitaran ekonomi yang lebih berdaya tahan daripada yang diramalkan sebelum ini,” katanya dalam nota penyelidikan.

TA Research berkata, pihaknya masih mempercayai potensi kelembapan dalam perbelanjaan pengguna menjelang akhir tahun, didorong sebahagiannya oleh ketegangan geopolitik yang mungkin melemahkan sentimen pengguna serta mengurangkan permintaan luar.

“Tinjauan ini terus dipengaruhi oleh jangkaan corak perbelanjaan yang lebih berhati-hati ketika kita menghampiri tahun depan, dengan rasionalisasi subsidi RON95 pada pertengahan 2025 berpotensi memberi kesan kepada belanjawan isi rumah.

“Walaupun faktor-faktor ini menimbulkan risiko kepada prospek pertumbuhan, satu siri penunjuk makroekonomi dan kewangan yang positif telah mendorong kami untuk menyemak semula ramalan kami ke atas.

“Sebagai contoh, inflasi kekal dalam julat terurus, dengan purata 1.8 peratus tahun ke tahun sepanjang sembilan bulan pertama 2024. Kestabilan ini penting untuk mengekalkan kuasa beli pengguna dan menyokong daya tahan ekonomi secara keseluruhan,” ujarnya.

Selain itu, firma penyelidikan itu berkata, kadar pengangguran telah menurun kepada 3.2 peratus, mencerminkan peningkatan yang stabil dalam kedua-dua angka guna tenaga dan pengangguran yang menunjukkan pasaran buruh yang teguh.

“Faktor-faktor ini telah meningkatkan keyakinan kami dalam trajektori pertumbuhan yang lebih kukuh untuk suku akan datang, walaupun terdapat risiko di pasaran,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya