Peraturan kendiri industri EV dan bateri tarik pelaburan hijau

Peraturan kendiri industri EV dan bateri tarik pelaburan hijau

HAIRIL Yahri Yaacob pada majlis pelancaran Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Elektrik dan Bateri (EVBM) sempena Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2024 di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Garis Panduan Pengurusan Kenderaan Elektrik dan Bateri (EVBM) yang dilancarkan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Persidangan Pengurusan EV dan Bateri 2024 dijangka mampu menarik pelaburan teknologi hijau pada masa hadapan. 

Pembangunan garis panduan ini, yang diterajui oleh Northport (Malaysia) Bhd. dengan kerjasama perniagaan dan pengawal selia dalam ekosistem kenderaan elektrik (EV) telah dipermudah oleh MPC dengan sokongan daripada Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii). 

Garis panduan ini menyediakan rangka kerja untuk peraturan kendiri industri dengan memastikan pengurusan EV dan bateri EV dijalankan dengan selamat dan lestari.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, pelancaran itu menandakan langkah penting dalam usaha Malaysia ke arah kemampanan dan produktiviti dalam sektor EV yang semakin berkembang. 

“MITI menyokong penuh Garis Panduan EVBM kerana ia menawarkan kerangka kerja yang jelas kepada perniagaan untuk menguruskan EV dan bateri mereka dengan selamat dan lestari. 

“Berasaskan prinsip pengurusan kitaran hayat, garis panduan ini merangkumi pengendalian, pengangkutan, pelupusan serta kitar semula EV dan bateri EV. 

“Justeru, pelancaran ini adalah langkah utama untuk memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pembuatan serantau bagi mobiliti elektrik dan menarik pelaburan teknologi hijau pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan. 

Persidangan Pengurusan EV dan Bateri 2024 diadakan bersempena dengan Pameran dan Persidangan Produk Teknologi Hijau dan Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM) 2024. 

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata, garis panduan itu memberi kuasa kepada industri untuk mengawal selia kendiri, menjadikan pematuhan lebih mudah dan memberi kebebasan kepada perniagaan untuk fokus meningkatkan produktiviti serta daya saing. 

“Dengan mengambil kawalan terhadap amalan pengawalseliaan mereka, syarikat dapat mengekalkan standard keselamatan dan alam sekitar yang tinggi sambil memacu inovasi dan pertumbuhan,” katanya. 

Ketua Pegawai Eksekutif Northport,  Datuk Azman Shah Mohd Yusof menekankan kepentingan garis panduan ini dalam menguruskan peningkatan penggunaan EV.

“Garis panduan ini memastikan rantaian bekalan EV beroperasi dengan selamat dan cekap selaras dengan peningkatan penggunaan,” katanya. 

Garis Panduan EVBM dijangka menjadi alat asas bagi perniagaan dalam sektor EV, membolehkan mereka memenuhi keperluan keselamatan, alam sekitar dan pengawalseliaan. 

Dengan mengguna pakai garis panduan ini, industri akan meningkatkan produktiviti dan daya saing sambil mengekalkan standard pematuhan yang tinggi.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya