Penangguhan EUDR beri masa untuk tingkatkan kemampanan

Penangguhan EUDR beri masa untuk tingkatkan kemampanan

JOHARI Abdul Ghani (kiri) pada Forum Minyak Sawit Malaysia Kuala Lumpur di sini, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penangguhan Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) sehingga akhir 2025 memberi peluang kepada negara pengeluar minyak sawit untuk mengambil langkah-langkah bagi mematuhi dan meningkatkan dasar kemampanan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pada masa yang sama, isu-isu kritikal seperti mewujudkan kriteria penanda aras yang telus perlu diberi perhatian agar negara pengeluar tidak sewenang-wenangnya dilabel sebagai ‘berisiko tinggi’. 

Katanya, Malaysia berharap Parlimen EU dapat memainkan peranan yang lebih akomodatif untuk menangani isu ini demi keadilan perdagangan dan kebaikan dunia.

“Malaysia sentiasa berusaha untuk mematuhi sasaran kemampanan global yang ditetapkan seperti Rancangan Malaysia ke-12, sasaran pelepasan gas rumah kaca sifar bersih menjelang 2050.

“Ini merangkumi pengurangan intensiti karbon terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030, pengurangan pelepasan metana global sebanyak 30 peratus menjelang 2030, serta mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus kawasan hutan.

“Trend global ke arah agenda kemampanan menyediakan peluang besar bagi Malaysia untuk memperlihatkan komitmen terhadap kelestarian dan mengukuhkan kedudukan sebagai pengeluar yang bertanggungjawab,” katanya pada Forum Minyak Sawit Malaysia Kuala Lumpur, semalam.

Beliau menyatakan bahawa Malaysia percaya semua negara harus mengutamakan interaksi dua hala yang bermakna berbanding mengenakan peraturan ke atas negara lain.

“Dengan cara ini, negara pengeluar dan pengguna dapat merangka dasar perdagangan yang mampu menangani isu-isu iklim secara adil dan saksama. Semangat kerjasama ini penting untuk menggalakkan perdagangan yang adil dan kerjasama global dalam menangani isu perubahan iklim.

“Sebagai pengeluar utama minyak sawit, Malaysia melalui Kementerian Perladangan dan Komoditi akan terus memanfaatkan platform dua hala dan pelbagai hala, serta berinteraksi secara efektif dengan pemegang kepentingan utama.

“Objektif kementerian adalah menyediakan perspektif yang seimbang dan menyeluruh mengenai minyak sawit serta menentang kritikan tidak berasas yang tidak mencerminkan realiti industri,” tambahnya.

Berhubung pembatalan pembelian minyak sawit mentah dari Malaysia oleh syarikat di India berikutan kenaikan cukai import secara drastik ke atas minyak sawit dan minyak boleh di makan lain sebanyak 20 peratus, Johari melihat perkara itu hanya bersifat sementara.

Beliau berkata, sebarang pembatalan inventori akibat kenaikan cukai itu tidak memberikan kesan yang besar kerana India mempunyai populasi penduduk yang juga pengguna minyak terbesar di dunia.

“Justeru, apa-apa pembatalan terbabit, bagi saya hanya bersifat sementara kerana mereka masih menjadi pasaran penting untuk minyak sawit negara.

“Malaysia akan terus menjadi rakan kongsi utama India dan kita akan terus menjual produk minyak sawit yang berkualiti tinggi.

“Malah, ketika pertemuan dengan rakan sejawat di India beberapa bulan lalu, saya menyatakan komitmen Malaysia untuk menyokong industri minyak sawit di sana termasuk mengenai teknologi dan pelbagai perkara lain,” katanya

Ketika ditanya adakah Malaysia akan memohon kepada kerajaan India untuk mengurangkan cukai import itu, Johari berkata, Malaysia menghormati keputusan setiap negara pengguna.

“Biasanya, kita tidak boleh melakukannya, kerana itu adalah hak setiap negara untuk memutuskan kenaikan cukai mereka. Setiap isu cukai saya percaya ia berkait dengan isu negara itu sendiri dan kita tidak boleh mengganggu keputusan setiap negara,” katanya.

Mengenai perkembangan lain, beliau berkata, Malaysia turut terbuka untuk menjalin perdagangan minyak sawit dengan pelbagai negara lain seperti Rusia, Asia Barat dan Afrika.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya