Pemaju hartanah mohon tangguh laksana caruman KWSP warga asing - Utusan Malaysia

Pemaju hartanah mohon tangguh laksana caruman KWSP warga asing

NAZRI TUMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemaju hartanah memohon kerajaan menangguhkan pelaksanaan mencarum wajib Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi warga asing kira-kira setahun lagi supaya mereka dapat membuat persediaan yang diperlukan.

Timbalan Ketua Pegawai Operasi, M K Land Holdings Berhad (M K Land), Nazri Tumin berkata, tempoh yang diberikan sehingga Februari 2025 untuk pelaksanaan dasar baharu ini adalah terlalu singkat.

Katanya, ini memandangkan terdapat syarikat yang telah pun membuat unjuran kewangan untuk tahunan kewangan semasa lebih awal dan sebarang pertukaran dari segi struktur kos boleh merencatkan perancangan yang telah dibuat.

“Ketika ini terdapat banyak pemaju hartanah yang terkesan dengan lebihan kos operasi disebabkan kenaikan kos bahan binaan, kos tenaga kerja sektor binaan, kos diesel, serta caj pembangunan lain.

“Kami mencadangkan tempoh pelaksanaan yang lebih lama, contohnya tempoh setahun dipertimbangkan bagi memberi ruang masa untuk syarikat membuat persediaan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2025 Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan mempertimbangkan untuk mewajibkan pekerja asing mencarum dalam dana persaraan sektor swasta.

Mengulas lanjut, Nazri berkata, segala perubahan terhadap dasar sedia ada memerlukan sesi konsultasi bersama pemain industri bagi memastikan suasana menang-menang kepada pekerja dan juga majikan kerana caruman KWSP melibatkan caruman daripada dua belah pihak iaitu oleh pekerja dan juga majikan.

“Caruman pekerja secara umumnya adalah langkah baik bagi membantu mengawal aliran wang ke luar negara oleh warga asing.

“Walau bagaimanapun, caruman di pihak majikan ditambah dengan kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 sebulan seperti semua sedia maklum akan meningkatkan kos operasi syarikat,” ujarnya.

Tambahnya, pihak pemaju menyambut baik cadangan kerajaan berkaitan penstrukturan gaji di peringkat nasional bagi menyokong agenda pembangunan negara sebagai sebuah negara maju.

Bagaimanapun, beliau berkata, perubahan kepada dasar sedia ada perlu diperhalusi dengan mengambil kira faktor-faktor lain termasuk faktor produktiviti.

“Kos pekerja merupakan salah satu angka yang diambil kira di dalam menentukan kebolehupayaan sesuatu projek dijalankan dengan margin keuntungan yang ditetapkan.

“Sebarang kenaikan kos yang berlaku sama ada dari segi kos pekerja, kos barang-barang pembinaan akan menjejaskan margin keuntungan majikan,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya