PETALING JAYA: Bursa Malaysia naik 5.43 mata kepada 1,641.97 pada pukul 5 petang hari ini berbanding 1,636.54 pada penutup Isnin.
Indeks penanda aras dibuka tinggi pada 1,638.56.
Jumlah dagangan sebanyak 2.87 bilion unit bernilai RM2.78 bilion.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 558 berbanding 509 dengan 493 kaunter tidak berubah dan 917 tidak diniagakan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran saham tempatan bergerak positif hari ini dengan indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mencatatkan kenaikan yang agak memberangsangkan pada sesi petang.
“Prestasi yang positif dilihat seiring dengan pergerakan harga-harga saham di Wall Street malam tadi.
“Kelembapan ekonomi China serta jangkaan rangsangan ekonomi yang tidak memenuhi sasaran para penganalisis ekonomi meletakkan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dihadapan dikalangan ekonomi-ekonomi utama di dunia.
“Justeru, pihak Rizab Persekutuan (Fed) AS dianggap tidak tergesa-gesa untuk mengurangkan kadar faedah ekoran situasi ekonomi AS yang masih lagi kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selain itu, beliau berkata, jangkaan pengumuman Belanjawan 2025 pada Jumaat ini juga menjadi faktor penyumbang yang positif kepada prestasi Bursa Malaysia.
“Ini berikutan dasar yang bersifat pembaharuan bakal diteruskan oleh kerajaan,” katanya.-UTUSAN