PETALING JAYA: Bursa Malaysia naik 5.32 mata kepada 1,635.29 pada pukul 5 petang hari ini, berbanding 1,629.97 pada penutup Jumaat.
Indeks penanda aras dibuka tinggi pada 1,633.58.
Jumlah dagangan sebanyak 2.76 bilion unit bernilai RM2.74 bilion.
Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 548 berbanding 476 dengan 529 kaunter tidak berubah dan 865 tidak diniagakan.
Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, prestasi indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dilihat dalam jajaran positif hari ini, seiring dengan prestasi bursa saham serantau.
“Data pasaran buruh di Amerika Syarikat (AS) menjadi tumpuan apabila ekonomi negara itu dijangka kekal sihat meskipun sebelum ini ada yang mula berbicara tentang kemungkinan kemelesetan ekonomi di sana bakal berlaku.
“Justeru, pihak rizab persekutuan (Fed) AS dijangka akan terus menurunkan kadar faedah, namun ia akan dilaksanakan dalam kadar yang beransur-ansur,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata, risiko geopolitik di Asia Barat masih menjadi faktor utama kepada sentimen pasaran yang berhati-hati.
“Harga minyak mentah Brent dilihat terus meningkat ke paras AS$79 (RM337.33) setong. Oleh itu, sentiment pasaran dijangka terus berhati-hati,” katanya.-UTUSAN