OPUS, HSSE kembangkan pasaran di Asia Tenggara, Asia Barat - Utusan Malaysia

OPUS, HSSE kembangkan pasaran di Asia Tenggara, Asia Barat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad (UEM Edgenta) dan HSS Engineers Berhad (HEB) memeterai Perjanjian Usaha Sama dan Pemegang Saham (JVSA) untuk mempercepatkan perluasan ke dalam pasaran infrastruktur pertumbuhan tinggi di seluruh Asia Tenggara dan Asia Barat.

Perjanjian tersebut dilaksanakan melalui anak syarikat masing-masing iaitu OPUS International (M) Berhad (OPUS), sebuah perunding kejuruteraan dan pengurusan aset dan HSS Engineering Sdn. Bhd. (HSSE), entiti dalam perkhidmatan kejuruteraan dan pengurusan projek.

Kerjasama itu menggabungkan kepakaran OPUS dan HSSE dalam menyampaikan penyelesaian komprehensif merentas perkhidmatan kejuruteraan dan teknikal, pengurusan projek dan perundingan pengurusan aset serta penyelesaian kecekapan tenaga dalam pelbagai sektor infrastruktur.

Usaha sama itu bakal dimiliki 60 peratus oleh OPUS dan 40 peratus oleh HSSE.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, kerjasama itu mewujudkan nilai jangka panjang serta mengukuhkan keupayaan syarikat dalam menyampaikan projek yang inovatif dan mampan.

“Untuk UEM Edgenta, ini selaras dengan visi Edgenta of the Future 2025 (EOTF 2025) kami di mana inovasi, kemampanan dan keberkesanan merupakan teras strategi kami.

“Kerjasama ini juga dilihat dapat meningkatkan daya saing kami di pasaran antarabangsa, sekali gus meletakkan kami sebagai peneraju dalam pengurusan aset infrastruktur di seluruh Asia Tenggara dan rantau Asia Barat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Urusan OPUS, Hillary Chua berkata, usaha sama yang transformatif itu menggabungkan kepakaran OPUS dalam pengurusan aset dan kepakaran kecekapan tenaga dengan kehadiran dan rangkaian pasaran antarabangsa HSSE yang meluas.

“Berbekalkan pengalaman kejuruteraan lebih tiga dekad daripada OPUS dan HSSE, kami mempunyai kedudukan baik bagi menyampaikan penyelesaian infrastruktur yang inovatif dan mampan bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga untuk pasaran pertumbuhan tinggi di seluruh Asia Tenggara dan Asia Barat.

“Kami berkongsi aspirasi bagi pertumbuhan yang tinggi, bertujuan untuk meningkatkan penyampaian amalan kejuruteraan bertaraf dunia dan perkhidmatan pengurusan aset sambil menyumbang kepada pembangunan infrastruktur rantau ini,” ujarnya.

OPUS dan HSSE merancang untuk menubuhkan usaha sama tersebut secara rasmi pada tahun 2024, dengan operasi awal tertumpu kepada projek pengurusan aset utama dan inisiatif kecekapan tenaga. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya