PETALING JAYA: Ni Hsin EV Tech Sdn. Bhd. (NHEVT), anak syarikat milik penuh Ni Hsin Group Berhad (Ni Hsin) menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) dengan Standard Energy Asia Sdn. Bhd. (SEA) mempromosi dan memasarkan motosikal elektrik (EV), EBIXON EV milik NHEVT.
Motosikal elektrik itu akan dipromosi dan dipasarkan di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, tertakluk kepada terma dan syarat MOA.
Objektif utama MOA itu adalah untuk mempromosi kerjasama strategik antara kedua pihak bagi memperluas bahagian pasaran perniagaan motosikal EV NHEVT di negeri-negeri tersebut sekali gus menggalakkan gaya hidup hijau melalui penggunaan motosikal EV mesra alam tanpa pelepasan karbon.
Pengarah Urusan NHEVT, Khoo Chee Kong berkata, kerjasama itu menyediakan mereka platform yang berkesan untuk mempromosi, menjual dan mengedarkan motosikal EBIXON EV di empat negeri berkenaan.
“SEA mempunyai rangkaian saluran pemasaran yang mantap di negeri tersebut untuk memasarkan motosikal EBIXON EV kami kepada orang awam, Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan melalui pembelian langsung serta pakej sewa untuk milik.
“SEA juga akan menumpukan kepada penyewaan motosikal EBIXON EV kepada pelancong tempatan dan antarabangsa bagi mempromosi pelancongan serta meningkatkan minat terhadap pengangkutan mesra alam,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif SEA, Dr. Ahmad Zaharuddin Sani berkata, kerjasama itu hadir pada waktu yang tepat dan SEA berharap ia berjaya dalam mewujudkan laluan menuju masa depan yang lebih hijau.
Polisi kerajaan kini semakin menyokong penggunaan kenderaan elektrik dua roda (EV) dan dijangka berkembang pada kadar Unjuran Purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) 15.4 peratus bagi tempoh 2021 hingga 2027, dengan pertumbuhan ini didorong, terutamanya oleh inisiatif kerajaan. – UTUSAN