MOTOSIKAL genre adventure memang sedang popular ketika ini.
Hampir semua jenama motosikal mempunyai model-model adventure, hinggakan segmen itu sendiri boleh dibahagikan kepada beberapa varian tersendiri.
Kebanyakan pemiliknya mahu menunggang jauh dengan motosikal adventure mereka, sehinggakan ramai terlupa bahawa genre touring sebenarnya lebih sesuai untuk perjalanan yang panjang dan lama.
Kali ini, kita huraikan kedua-dua segmen itu dan terpulang kepada pembaca, yang mana lebih sesuai untuk memuaskan kehendak dan keperluan mereka.
Motosikal touring
Motosikal dalam kumpulan ini sebenarnya ialah sebuah jentera yang direka untuk memberikan keselesaan semasa menunggang dalam tempoh yang lama.
Jika ia cenderung ke arah prestasi kelajuan dan pengendalian, ia dikenali sebagai sports touring di mana ia menggunakan enjin dari model superbike, tetapi ditala agar memberikan tumpuan kepada daya kilas yang lebih tinggi pada RPM (putaran enjin) yang rendah berbanding dengan kelajuan maksimum.
Gaya tunggangan adalah sedikit ekstrem di mana penunggang perlu membongkok sedikit dan bar pemegang jauh ke depan. Untuk yang sering sakit belakang, ia mungkin kurang sesuai.
Contoh terbaik dalam kumpulan ini ialah Kawasaki H2-SX, di mana enjin supercharged itu ditala untuk memudahkan tunggangan dan sepasang pannier (beg sisi) dipasang untuk kebolehan menyimpan kargo.
Kemudian kita ada motosikal touring yang lebih ke arah keselesaan, seperti BMW R1250 RT. Penunggang duduk tegak sedikit, dan ia dipasang dengan skrin cermin hadapan yang tinggi untuk perlindungan dari angin dan tempias hujan.
Gegaran daripada enjin dikurangkan dengan menggunakan pendakap-pendakap yang baik dan ini membolehkan penunggang merasa cukup selesa untuk perjalanan ribuan kilometer.
Akhirnya, kita mempunyai motosikal touring yang mewah, seperti Honda GoldWing, BMW K16 dan sebagainya.
Motosikal dalam segmen ini selalunya datang dengan enjin-enjin berkapasiti besar (GoldWing menggunakan enjin 1,833 cc) dan kini ada yang menggunakan transmisi automatik.
Ia sesuai untuk tunggangan di lebuh raya lurus tetapi masih boleh dibawa “bermain” di kawasan berliku, cuma pada kelajuan yang rendah sedikit dari superbike biasa.
Untuk mereka yang mahukan keselesaan dan memang menunggang dalam tempoh masa yang lama dan jauh, motosikal touring memang cukup sesuai. Motosikal touring juga selalunya mempunyai kelengkapan keselamatan yang tinggi dan aksesori yang banyak.
Cuma gaya yang dicerminkan oleh genre ini lebih matang dan lebih eksekutif. Populariti motosikal gaya hidup lain seperti motosikal retro, naked dan adventure menyebabkan tidak ada banyak pilihan motosikal touring.
Motosikal touring juga tidak didapati di dalam kategori enjin di bawah 500cc dan harganya juga selalunya tinggi.
Motosikal adventure
Sejarah motosikal kategori ini boleh dikatakan bermula dengan jenama-jenama Jepun, seperti Suzuki dengan model DR800 Dr Big, Honda Africa Twin dan Yamaha Super Tenere.
Pada zaman 90-an, motosikal-motosikal ini umpama sebuah motorcross yang besar dan menjadi pujaan ramai. Akhirnya, BMW menghasilkan genre adventure yang menjadi ikutan ramai dengan model R80 GS yang kemudian berkembang sehingga ke R1300 GS sekarang.
Motosikal adventure boleh dibahagikan kepada beberapa kategori. Untuk mereka yang banyak menunggang di kawasan mencabar (offroad), motosikal adventure dengan roda hadapan 21-inci adalah lebih sesuai.
Kepada yang lebih banyak menunggang di jalan raya, motosikal adventure dengan roda hadapan bersaiz 19-inci pula lebih stabil pada kelajuan tinggi.
Bagi yang mahukan gaya adventure tetapi masih mahu menunggang dengan agresif, model-model seperti Ducati Multistrada sangat sesuai kerana ia masih mengutamakan kelajuan dan kebolehan mengasah but ketika mengambil selekoh.
Kelebihan utama motosikal adventure ialah gaya duduk yang betul-betul tegak, sesuai untuk penunggang berusia atau yang mempunyai kelebihan lemak di perut.
Motosikal genre ini juga lebih mudah untuk dipasang pannier dan kotak barang serta sistem gantungan yang membolehkan pemilik membawa beban yang banyak.
Ukuran lega bumi yang tinggi juga membenarkan penunggang melepasi halangan-halangan offroad dengan lebih mudah.
Untuk penunggang yang mempunyai masalah ketinggian, mereka harus mencari motosikal adventure yang rendah sedikit, dan ini akan membataskan pilihan mereka.
Dari segi penggunaan bahan api, motosikal adventure pastinya tidak akan sejimat motosikal touring kerana kadar aerodinamik yang tidak begitu efisien serta tayar-tayar lasak yang lebih besar.
Kesimpulannya?
Semuanya bergantung kepada cara tunggangan kita, cuma motosikal touring sedikit sukar untuk dibawa di laluan lasak. Boleh, tetapi umpama memakai but bola untuk ke dewan tarian.
Motosikal adventure pula lebih versatil, dan jika penunggang tidak mempunyai keinginan untuk mengambil selekoh pada kelajuan tinggi dan lebih gembira menunggang dengan cara santai, genre ini lebih sesuai.
Tepuk dada tanya selera, cuma jangan terlalu terikut dengan nafsu dan gaya kerana di dalam dunia motosikal, kawalan kenderaan itu mungkin akan menentukan anda sampai ke destinasi anda atau tidak. – UTUSAN