PETALING JAYA: Matrix Concepts terus mengukuhkan reputasinya sebagai pemaju terkemuka di Malaysia dengan pencapaian luar biasa apabila meraih empat anugerah di Anugerah PropertyGuru Asia Malaysia 2024.
Ini adalah kali kelima Matrix Concepts diiktiraf di Anugerah PropertyGuru Asia yang berprestij, sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam industri pembangunan hartanah.
Antara anugerah yang diterima termasuk, Anugerah Pilihan Rakyat, 10 Pemaju Teratas, Pemaju Komuniti Terbaik, Pembangunan Bertanah Gaya Hidup Terbaik – Bayu Sutera, Bandar Sri Sendayan serta Pembangunan Bertanah Mewah Terbaik (Central) – Resort Villa, Bandar Sri Sendayan.
Ketua Pegawai Eksekutif Matrix Concepts, Chai Keng Wai berkata, anugerah itu adalah bukti komitmen syarikat untuk menyampaikan pembangunan yang berasaskan nilai yang memenuhi keperluan komuniti sambil membentuk masa depan kehidupan Malaysia.
“Pengiktirafan ini memotivasi kami untuk terus meningkatkan standard dan mengukuhkan kedudukan kami sebagai pemaju yang dipercayai, baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, Bayu Sutera, Bandar Sri Sendayan, yang memenangi Pembangunan Bertanah Gaya Hidup Terbaik, menggambarkan visi Matrix Concepts dalam membina rumah di persekitaran yang subur dan selamat.
Terletak di tepi tasik yang tenang, Bayu Sutera menawarkan penduduk gaya hidup yang dipertingkatkan dengan ciri rumah pintar, Taman Tengah seluas 9.5 ekar, dan keahlian kelab eksklusif.
Selain itu, Resort Villa, Bandar Sri Sendayan, yang memenangi Pembangunan Bertanah Mewah Terbaik (Pusat), menunjukkan keupayaan Matrix Concepts untuk mencipta ruang kediaman mewah yang selaras dengan alam.
Pembangunan berprestij ini menonjolkan kepakaran syarikat dalam merekabentuk rumah moden yang berkualiti tinggi di lokasi terunggul.
Jelasnya, usaha berterusan Matrix Concepts dalam pembangunan yang berfokuskan komuniti telah meraih anugerah Pemaju Komuniti Terbaik, mencerminkan pendekatan holistiknya dalam mencipta kawasan perumahan yang memupuk kesalinghubungan sosial dan kesejahteraan. – UTUSAN