Malaysia di tangga ke-29 ekonomi paling bebas di dunia - Utusan Malaysia

Malaysia di tangga ke-29 ekonomi paling bebas di dunia

KDNK suku ketiga Malaysia dijangka mendatar pada 5.3 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia muncul antara ekonomi paling bebas di dunia apabila kedudukan negara dalam Kebebasan Ekonomi Dunia: Laporan Tahunan 2024 melonjak ke tempat ke-29 berbanding tangga ke-43 tahun lalu dalam kalangan 165 negara dan wilayah.

Peningkatan kedudukan Malaysia itu didorong skor yang lebih tinggi dalam tiga bidang utama yang mengukur kebebasan ekonomi.

Skor keseluruhan Malaysia meningkat kepada 7.56 berbanding 7.44 berdasarkan skala 0 hingga 10, didorong oleh peningkatan skor dalam tiga bidang iaitu saiz kerajaan, kebebasan untuk berdagang di peringkat antarabangsa dan peraturan.

Skor bagi saiz kerajaan mencatatkan peningkatan kepada 7.35 berbanding 7.26; kebebasan untuk berdagang di peringkat antarabangsa meningkat kepada 7.89 berbanding 7.27 dan skor bagi peraturan meningkat kepada 7.54 berbanding 7.53.

Namun, skor untuk sistem undang-undang dan hak harta (dilaraskan untuk perbezaan jantina) kekal pada 5.70, sementara akses kepada wang yang kukuh merosot kepada 9.32 berbanding 9.45.

Ketua Pegawai Eksekutif CME, Dr Carmelo Ferlito berkata, beliau percaya adalah baik untuk melihat kemajuan penting bukan saja pada kedudukan keseluruhan untuk Malaysia tetapi khususnya mengenai saiz kerajaan dan kebebasan perdagangan di peringkat antarabangsa.

“Kami jangka aspek terbaharu ini akan bertambah baik pada tahun-tahun akan datang berkat perjanjian Trans Pasifik, tetapi usaha berterusan diperlukan untuk menambah baik saiz kerajaan dan khususnya, meminimumkan campur tangan kerajaan terhadap sistem ekonomi,” katanya dalam laporan yang dikeluarkan Pusat Pendidikan Pasaran (CME) bersama Fraser Institute Kanada.

Selain itu, kebebasan ekonomi iaitu tahap di mana individu dibenarkan membuat pilihan ekonomi mereka sendiri seperti apa yang hendak dibeli, di mana dan cara bekerja, serta cara memulakan dan menjalankan perniagaan, adalah asas kepada kemakmuran.

“Indeks itu mengukur kebebasan ekonomi melalui keterbukaan kepada perdagangan, beban cukai dan kawal selia, perbelanjaan kerajaan, perlindungan orang dan harta benda mereka dan akses rakyat kepada wang yang kukuh,” katanya.

Pada 2022 (tahun terkini data tersedia), Hong Kong adalah bidang kuasa paling bebas ekonomi di dunia, walaupun skornya telah menurun dalam beberapa tahun kebelakangan ini, diikuti oleh Singapura (kedua), Switzerland (ketiga), New Zealand (keempat ) dan Amerika Syarikat (kelima).

Negara yang berada dalam ranking terendah ialah Yaman (156), Libya (157), Iran (158), Argentina (159), Myanmar (160), Algeria (161), Syria (162), Sudan (163), Zimbabwe (164) dan Venezuela (ke-165).

Individu yang tinggal di negara yang mempunyai tahap kebebasan ekonomi yang tinggi menikmati kemakmuran yang lebih besar, kebebasan politik dan sivil lebih tinggi, serta umur yang lebih panjang.

Sebagai contoh, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setiap individu di negara yang mencatatkan tahap kebebasan ekonomi tertinggi ialah sekitar AS$52,877 pada 2022 berbanding AS$6,968 bagi negara yang mencatatkan tahap kebebasan ekonomi terendah.

Dalam pada itu, kadar kemiskinan juga lebih rendah bagi negara yang mencatatkan skor tinggi kebebasan ekonomi iaitu hanya satu peratus penduduk mengalami kemiskinan tegar (hidup kurang daripada AS$2.15 sehari) berbanding 30 peratus yang dicatatkan negara yang mencatatkan skor terendah.

Akhir sekali, jangka hayat pula adalah 80.5 tahun bagi negara yang mencatatkan skor tertinggi berbanding 64.9 tahun bagi negara dengan skor terendah.

Fraser Institute mengeluarkan laporan tahunan Kebebasan Ekonomi Dunia dengan kerjasama Rangkaian Kebebasan Ekonomi, sekumpulan institut penyelidikan dan pendidikan bebas di hampir 100 negara dan wilayah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya