Malaysia antara 13 negara rasmi ditambah sebagai negara rakan kongsi BRICS - Utusan Malaysia

Malaysia antara 13 negara rasmi ditambah sebagai negara rakan kongsi BRICS

PERWAKILAN berinteraksi di sebelah logo sidang kemuncak BRICS semasa Sidang Kemuncak BRICS 2023 di Pusat Konvensyen Sandton di Johannesburg, Afrika Selatan pada 23 Ogos 2023. -REUTERS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia diiktiraf sebagai satu daripada 13 negara yang secara rasmi ditambah ke dalam BRICS sebagai negara rakan kongsi, sebuah blok yang secara kolektif menyumbang kepada satu perlima perdagangan global.

Menurut kemas kini @BRICSInfo di aplikasi X, blok itu secara rasmi menambah 13 negara baharu ke dalam perikatan sebagai negara rakan kongsi, walaupun belum sebagai ahli penuh.

Selain Malaysia, 12 negara lain yang turut disertakan ialah Algeria, Belarus, Bolivia, Cuba, Indonesia, Kazakhstan, Nigeria, Thailand, Turki, Uganda, Uzbekistan dan Vietnam.

Pada 28 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan Malaysia telah menyerahkan permohonan kepada Russia yang merupakan pengerusi blok berkenaan untuk menyertai organisasi antara kerajaan BRICS.

BRICS pada asalnya dianggotai oleh Brazil, Russia, India dan China telah ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang membangun, dengan Afrika Selatan menyertai pada 2010, seterusnya berkembang merangkumi Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu.

BRICS mewakili kira-kira 40 peratus populasi global dan menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) terkumpul sebanyak AS$26.6 trilion, atau 26.2 peratus daripada KDNK dunia, hampir menyamai kekuatan ekonomi Kumpulan Tujuh (G7). (AS$1 = RM4.34).

G7 ialah kumpulan tidak rasmi yang terdiri daripada tujuh ekonomi maju dunia, termasuk Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat, serta Kesatuan Eropah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN