MAG sertai Rangkaian Tindakan CEO

MAG sertai Rangkaian Tindakan CEO dorong usaha pembangunan lestari

MOHD IZANI GHANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan penyertaannya sebagai anggota Rangkaian Tindakan CEO (CAN), sebuah gabungan lebih 70 pemimpin yang memberi tumpuan kepada sokongan kelestarian, pembangunan kapasiti, tindakan dan prestasi.

Menurut kenyataannya, melalui kumpulan kerja yang khusus, aliran kerja dan anggota aktif yang mendorong inisiatif berkaitan, CAN berhasrat menjadi pemangkin bagi anggotanya dalam membentuk model perniagaan dan ekosistem yang bersedia untuk masa depan yang berintegrasi dengan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Sebagai sebahagian daripada penglibatan berkenaan, MAG akan menyumbang secara aktif kepada aliran kerja keadilan, kesetaraan dan inklusi (DEI).

“Inisiatif tersebut akan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk rakan rantaian bekalan, pengawal selia dan pembuat dasar, kerajaan serta rakan sejawat dari pelbagai sektor untuk membentuk kerjasama yang komited kepada amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan pembangunan lestari. 

“Aliran kerja itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang prinsip dan kes perniagaan untuk DEI sambil mengukuhkan dasar dan intervensi strategik,” katanya. 

Inisiatif terbabit selaras dengan komitmen MAG kepada inisiatif 25by2025 yang dipelopori oleh Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) bagi meningkatkan penglibatan wanita dalam sektor penerbangan.

MAG juga berikrar untuk mencapai tahap kematangan yang tinggi dalam tiga bidang utama iaitu tadbir urus, alam sekitar dan manusia menjelang 2030.

Kumpulan itu komited untuk mencapai penanda aras aspirasi di ketiga-tiga aspek tersebut, mengukuhkan dedikasi mereka kepada amalan perniagaan yang bertanggungjawab dan lestari.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MAG, Datuk Izham Ismail berkata, pihaknya berbangga menyertai CAN yang memfokuskan kepada penubuhan komitmen kolektif untuk tindakan iklim dan tanggungjawab sosial.

“Inisiatif ini seiring dengan cita-cita kelestarian kami, khususnya matlamat pengurangan karbon dan komitmen kami untuk mencipta impak sosio-ekonomi yang positif.

“Penyertaan kami dalam aliran kerja DEI CAN melengkapi misi lebih luas kami untuk memberdayakan penglibatan wanita dalam tenaga kerja kami dan sektor penerbangan melalui inisiatif 25by2025,” katanya. 

Beliau berkata, MAG gembira dapat mencapai kemajuan yang baik dalam aspek tersebut yang melebihi sasaran iaitu 35 peratus penyertaan keseluruhan wanita dalam tenaga kerja syarikat setakat ini, dengan 50 peratus dalam jawatan pengurusan atasan.

“Dengan berkolaborasi bersama pemimpin dan organisasi lain, kami berhasrat untuk memperkuat usaha dalam mempromosikan kesamarataan jantina, meningkatkan kepelbagaian dan memastikan setiap individu diberi peluang untuk berkembang. 

“Kami percaya bahawa kepelbagaian adalah kekuatan yang mendorong inovasi dan kecemerlangan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya