KUANTAN: Koperasi Perkhidmatan Pelajaran Nasional Berhad (Kopenas) berharap menjadi antara penerima peruntukan berjumlah RM815 juta yang disalurkan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) menerusi Belanjawan 2025 bagi mengembangkan daya saing dan perniagaannya tahun depan.
Pengerusi Kopenas Berhad, Jumat Mat Lani berkata, dengan memanfaatkan sepenuhnya segala peluang diberikan, pihaknya yakin koperasi itu akan terus berkembang dan memberikan sumbangan yang lebih besar kepada anggota dan masyarakat.
“Sebagai koperasi yang berwawasan, Kopenas komited mencapai objektif Dasar Koperasi Malaysia 2030 (DaKoM 2030).
“Melalui kerjasama strategik dengan pelbagai pihak, kita sedang melaksanakan transformasi yang akan memperkukuhkan kedudukan ekonomi koperasi kita dan seterusnya memberikan impak positif kepada ahli-ahli,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran 40 tahun Kopenas yang disempurnakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick di sini kelmarin.
Jumat berkata, sejak penubuhan pada 1984, Kopenas berpegang kepada misi yang jelas dengan memberikan perkhidmatan kredit terbaik kepada anggotanya, khususnya dalam kalangan kakitangan Kementerian Pendidikan Malaysia.
Jelasnya, sepanjang empat dekad berkenaan, Kopenas sudah berkembang pesat daripada segi keahlian dan perkhidmatan sekali gus menjadi salah satu koperasi terbesar di sektor pendidikan.
Beliau dalam pada itu berkata, Kopenas komited mengembangkan perniagaannya apabila memperoleh pendapatan memberangsangkan mencecah lebih RM7 juta melalui aktiviti kredit pada 2023.
Katanya, pada tahun ini, koperasi itu mengukir satu lagi pencapaian membanggakan apabila menduduki tempat ke-59 daripada 100 koperasi terbaik negara.
“Di samping itu, di Wilayah Persekutuan, kita berada di tangga ke-22 daripada lebih 1,100 koperasi di situ. Ini merupakan pengiktirafan terhadap usaha gigih kita semua, lebih-lebih lagi dalam menjana pendapatan memberangsangkan lebih RM7 juta melalui aktiviti
kredit pada 2023.
“Pengiktirafan ini adalah hasil daripada pengurusan yang cekap dan komitmen kita untuk terus menambah baik prestasi koperasi. Saya yakin dengan kerjasama dan sokongan berterusan daripada semua, kita mampu melangkah lebih jauh dan mengukuhkan lagi kedudukan kita di persada koperasi negara,” katanya. – UTUSAN