Kerajaan komited transformasi pengangkutan awam negara - Prasarana - Utusan Malaysia

Kerajaan komited transformasi pengangkutan awam negara – Prasarana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Inisiatif Belanjawan 2025 mencerminkan kesungguhan pihak kerajaan dalam mentransformasi sistem pengangkutan awam negara bagi mencapai sasaran nisbah peratusan penggunaan pengangkutan awam sebanyak 40 peratus menjelang 2030, menurut Prasarana Malaysia Berhad.

Pengendali perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel, serta perkhidmatan bas di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan itu turut menyambut baik Belanjawan Madani Ketiga yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Di bawah belanjawan tersebut, kerajaan meneruskan peruntukan bagi inisiatif pas bulanan My50 bagi pengguna pengangkutan awam yang akan memberi manfaat kepada hampir 180,000 pengguna.

“My50 merupakan sebuah pas perjalanan tanpa had bernilai RM50 sebulan untuk penggunaan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana.

“Kami yakin dengan langkah meneruskan pemberian inisiatif My50, dapat mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan kesesakan lalu lintas khususnya di Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, Prasarana menjelaskan, perkhidmatan bas di bawah kendalian syarikat juga akan diperkasakan, dengan perolehan 250 bas elektrik yang akan diterima secara berperingkat mulai tahun hadapan.

“Inisiatif penggunaan bas elektrik adalah langkah menyokong pelepasan karbon sifar bersih selain meningkatkan kesalinghubungan batuan pertama dan terakhir (First Mile Last Mile),” katanya.

Belanjawan 2025 turut memperuntukkan sejumlah RM10 juta untuk meningkatkan capaian perkhidmatan bas dan pengalaman penumpang dengan penambahan lorong bas khas di Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47 kilometer (km).

Menurut Prasarana, perluasan inisiatif ini adalah hasil kejayaan pelaksanaan lorong bas sedia ada di Koridor Jalan Ampang, Jalan Genting Klang dan Jalan Klang Lama yang mencatatkan purata pertambahan jumlah penumpang sebanyak 20 peratus dan purata penjimatan masa perjalanan sehingga 10 minit.

“Kemudahan van untuk anak-anak ke sekolah daripada stesen tren terpilih dengan bayaran 50 sen sehala akan turut disediakan oleh Prasarana.

“Sebagai permulaan, stesen yang terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan LRT Taman Melati,” katanya.

Dalam pada itu, Prasarana juga menyambut baik langkah kerajaan untuk menambah baik 100 hentian bas di Lembah Klang dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan dan swasta demi memberi keselesaan dan kemudahan kepada pengguna.

“Kami komited untuk melaksanakan inisiatif berkaitan yang dibentangkan dalam belanjawan pada hari ini demi memastikan agenda kerajaan dapat dicapai serta memberi manfaat yang maksimum kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN