PETALING JAYA: Johor Port Berhad (Johor Port), menerima Sistem Anugerah Pelabuhan Hijau 2024 (GPAS) dalam Anugerah GPA 2024 yang mengiktiraf kecemerlangan untuk mengekalkan alam sekitar dalam operasi pelabuhan yang mampan.
Menurut kenyataan, inisiatif hijau Johor Port telah memenuhi piawaian tinggi yang ditetapkan untuk pengiktirafan itu serta mengesahkan inisiatif alam sekitar pelabuhan dan pematuhan kepada amalan terbaik, selaras pergerakan global ke arah pembangunan mampan dalam logistik maritim.
“Johor Port telah melaksanakan strategi hijau komprehensif yang mengutamakan kecekapan tenaga, penggunaan sumber tenaga boleh diperbaharui, pemantauan pencemaran udara, pengurusan sisa yang berkesan, amalan air mampan, elektrifikasi peralatan dan penyelenggaraan landskap hijau di dalam pelabuhan.
“Sebagai penerima Anugerah GPAS 2024, Johor Port mengukuhkan misi untuk memacu kemampanan alam sekitar dan kecemerlangan operasi dalam sektor pelabuhan Asia Tenggara, menetapkan penanda aras baharu untuk logistik Hijau di rantau ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Johor Port, Md Derick Basir berkata, penghargaan itu mencerminkan komitmen Johor Port mewujudkan persekitaran operasi yang mampan dan mesra alam, seiring matlamat Malaysia untuk inovasi hijau dan industri maritim global dengan objektif untuk penjagaan alam sekitar.
“Kami amat berbesar hati dengan pengiktirafan ini dan akan terus menerajui amalan mampan di seluruh operasi kami,” katanya. – UTUSAN