PETALING JAYA: Harga eksport dan import Malaysia pada September 2024 masing-masing menurun 0.6 peratus dan 1.9 peratus, menurut Jabatan Perangkaan.
Harga eksport menurun kepada 149.3 mata berbanding 150.3 mata pada bulan sebelumnya, manakala import turun kepada 127.1 mata daripada 129.5 mata bulan sebelum.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, indeks nilai seunit eksport jatuh 0.6 peratus pada September 2024 berbanding bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kejatuhan indeks minyak galian (-4.0 peratus), barang-barang keluaran kilang (-1.4 peratus) dan bahan kimia (-0.8 peratus).
“Pada masa yang sama, indeks volum eksport susut 3.2 peratus selaras dengan penyusutan indeks barang-barang keluaran kilang (-12.4 peratus), pelbagai barang keluaran kilang (-10.6 peratus) dan minyak galian (-10.2 peratus).
“Indeks volum eksport pelarasan bermusim turut merosot 13.5 peratus daripada 170.3 mata kepada 147.3 mata. Merujuk kepada perbandingan tahunan, indeks nilai seunit naik 3.3 peratus manakala indeks volum jatuh 3.4 peratus,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, bagi Indeks nilai seunit import pula menurun 1.9 peratus, disumbangkan oleh penurunan indeks minyak galian (-9.8 peratus), bahan kimia (-1.0 peratus) dan, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-0.5 peratus).
“Indeks volum import turut jatuh 8.5 peratus pada September 2024 berbanding bulan sebelum, disumbangkan oleh kejatuhan dalam indeks bahan kimia (-18.5 peratus), barang-barang keluaran kilang (-14.2 peratus) dan, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (-8.0 peratus).
“Indeks volum import pelarasan bermusim merosot 18.2 peratus daripada 229.1 mata kepada 187.3 mata. Perbandingan tahun ke tahun menunjukkan indeks nilai seunit import menyusut 1.4 peratus dan indeks volum bertambah 14.0 peratus,” katanya.
Bagaimanapun, terma perdagangan Malaysia berkembang 1.3 peratus bulan ke bulan kepada 117.5 mata pada September 2024, didorong oleh kenaikan indeks minyak galian (+6.4 peratus ), makanan (+1.2 peratus) dan, alat jentera dan kelengkapan pengangkutan (+0.7 peratus).
“Begitu juga, terma perdagangan Malaysia tahun ke tahun menokok 6.1 peratus daripada 110.7 mata pada September tahun lalu,” katanya. – UTUSAN