Gaji minimum RM1,700 bukti kerajaan peka cabaran PKS - MEF - Utusan Malaysia

Gaji minimum RM1,700 bukti kerajaan peka cabaran PKS – MEF

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan mengambil kira cabaran yang dihadapi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam menentukan gaji minimum RM1,700, kata Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF).

Presidennya, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kerajaan memberikan tempoh yang munasabah kepada majikan untuk melaksanakan gaji minimum baharu, terutamanya bagi perusahaan mikro yang mempunyai kurang daripada lima pekerja.

“MEF turut berterima kasih kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) kerana memudahkan pertemuan untuk ahli MPGN membincangkan dan mempertimbangkan isu-isu ini sebelum mencapai persetujuan sebulat suara.

“MPGN telah mengemukakan cadangannya kepada kerajaan berhubung semakan kadar gaji minimum tersebut.

“Butiran teknikal mengenai semakan ini telah dijalankan oleh Jawatankuasa Teknikal MPGN yang melibatkan pengumpulan cadangan daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk majikan dan pekerja,” katanya dalam kenyataan.

Syed Hussain berkata, penting bagi pihak berkepentingan untuk memahami bahawa majoriti perniagaan di Malaysia adalah PKS.

“Malah, dalam kalangan PKS sendiri terdapat perbezaan antara perniagaan di bandar dan luar bandar. Oleh itu, sebarang keputusan untuk menyemak gaji minimum perlu mengambil kira semua faktor ini.

“Isu gaji minimum tidak pernah menjadi masalah bagi syarikat multinasional (MNC), syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat tempatan besar. Cabaran sebenar adalah dengan PKS,” katanya.

Beliau berpandangan, gaji minimum baharu sebanyak RM1,700 hanyalah titik permulaan, malah kebanyakan majikan membayar lebih daripada gaji minimum.

“Majikan yang mampu menawarkan gaji yang lebih tinggi juga sepatutnya tidak terhad kepada gaji minimum.

“Tiada siapa patut menggunakan gaji minimum sebagai alasan untuk membayar berdasarkan kadar tersebut dan menjadi amalan yang beretika serta baik bagi majikan untuk memberikan ganjaran kepada pekerja berdasarkan prestasi pekerja dan perniagaan mereka,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2025 di Parlimen bahawa gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,700 berkuat kuasa mulai 1 Februari 2025 bagi majikan yang mempunyai lima orang pekerja atau lebih.

Majikan mikro dengan kurang daripada lima pekerja diberikan tempoh tambahan selama enam bulan untuk melaksanakan gaji minimum itu.

Semakan terakhir Gaji Minimum adalah kepada RM1,500 sebulan yang berkuat kuasa mulai 1 Mei 2022 bagi semua majikan kecuali perniagaan mikro yang menggaji kurang daripada 5 pekerja.

Peningkatan gaji minimum itu ditangguhkan untuk perniagaan mikro yang menggaji kurang daripada lima pekerja sehingga 1 Januari 2023.

Sejak 1 Januari 2023, gaji minimum RM1,500 terpakai di seluruh negara. Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) menetapkan bahawa perintah gaji minimum perlu disemak setiap dua tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya