Dividen bukan ‘untung durian runtuh’ buat PMKS - Utusan Malaysia

Dividen bukan ‘untung durian runtuh’ buat PMKS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dividen yang diterima oleh pemilik perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bukanlah ‘untung durian runtuh’ tetapi sebaliknya merupakan simpanan yang penting buat mereka.

Presiden Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata, ramai pemilik PMKS tidak mengambil gaji bulanan demi memastikan gaji pekerja, pembayaran kepada pembekal dan sewa dapat didahulukan.

“Cukai ke atas dividen sebelum ini dianggap sebagai satu bentuk cukai dua kali ganda dan telah memberikan kesan negatif kepada sumber pendapatan pemilik perniagaan kecil.

“Walaupun kami bersyukur kerajaan memahami isu ini dan membuat keputusan untuk menurunkan cukai dividen kepada dua peratus, namun kami berharap PMKS dapat dikecualikan daripada cukai dividen yang diumumkan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, penting untuk diingat bahawa isu kos sara hidup bukan hanya memberi kesan kepada pengguna, tetapi juga kepada peniaga, khususnya PMKS, yang turut berdepan peningkatan kos.

“Dengan margin keuntungan yang semakin tipis, cukai dividen ini bukan sahaja membebankan PMKS tetapi juga boleh melemahkan semangat mereka untuk terus bertahan dalam ekonomi yang masih tidak stabil,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa cukai dividen diturunkan kepada kadar dua peratus berbanding lima peratus pada awalnya selepas mengambil kira rayuan dikemukakan, termasuk daripada kalangan PMKS.

Beliau berkata, PMKS mengemukakan rayuan supaya dikecualikan daripada cukai dividen itu atas alasan PMKS berbeza dengan syarikat tersenarai.

Katanya, beliau bersikap terbuka untuk menerima cadangan mengenai pelaksanaan cukai dividen itu seperti yang diumumkan menerusi pembentangan Belanjawan 2025, namun bukan cadangan untuk pengecualian.

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai pula berpandangan, cukai dikenakan itu bertujuan memastikan pendapatan golongan kaya turut dicukai dan ia akan membantu meningkatkan pendapatan cukai negara apabila digabungkan dengan cukai keuntungan modal untuk jangka masa panjang.

“Kita sedang memperkenalkan cukai baharu ke atas dividen yang diterima oleh pemegang saham. Kadar lima peratus itu sebenarnya sudah kecil, dan sekarang hanya dua peratus sahaja.

“Sebelum ini, cukai dikenakan hanya ke atas syarikat, tanpa dikenakan cukai langsung ke atas dividen yang diterima oleh pemegang saham. Namun, kini kerajaan ingin memperkenalkan cukai ke atas dividen ini dan kali pertama kerajaan mengenakan cukai ke atas pemegang saham,” katanya.

Mengulas mengenai penegasan Anwar tidak menerima cadangan pengecualian cukai, beliau berkata, cukai itu dibuat untuk ekonomi negara bergerak ke hadapan dan memastikan pemegang saham turut menyumbang.

“Jika kita terus memberi pengecualian, kita akan mundur ke belakang. Cukai ini akan dimulakan pada kadar rendah dan mungkin dinaikkan secara berperingkat.

“Ini kerana kira-kira tiga peratus daripada penduduk Malaysia yang berpendapatan tinggi adalah pemegang saham dalam 100,000 syarikat besar, termasuk 1,000 syarikat tersenarai.

“Mereka biasanya tidak bekerja dan hidup selesa. Golongan inilah yang sepatutnya menanggung cukai lebih banyak, memandangkan mereka menguasai 65 peratus daripada ekonomi negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya