PETALING JAYA: Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini menjelang perbentangan Belanjawan 2025 di Parlimen Jumaat ini.
Pada 9.08 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 3.12 mata kepada 1,639.66 daripada 1,636.54 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks petunjuk pasaran dibuka tinggi pada 1,638.56.
Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 144 berbanding 136, dengan 261 kaunter tidak berubah, 1,935 tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 166.27 juta saham bernilai RM101.61 juta.
Kenanga Investment Bank Bhd. berkata, memandang ke hadapan, semua mata akan tertumpu pada pengumuman Belanjawan 2025 Malaysia pada 18 Oktober yang boleh mempengaruhi pelaburan asing dan ekuiti tempatan.
“Data ekonomi utama dari China, termasuk Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga dan Indeks Harga Pengguna September akan menjadi kritikal untuk menilai keadaan ekonomi serantau.
“Di Amerika Syarikat (AS), permulaan musim pendapatan suku ketiga dan data jualan runcit juga akan menjadi penting.
“Kami menjangkakan perdagangan berhati-hati dengan potensi turun naik apabila pasaran bertindak balas terhadap peristiwa penting ini,” katanya dalam nota penyelidikan.-UTUSAN