PETALING JAYA: BlackBerry Limited memilih Malaysia sebagai ibu pejabat serantau untuk bahagian keselamatan siber wilayah Asia Pasifik (APAC), sekali gus menunjukkan komitmen berterusan syarikat berpangkalan di Kanada itu terhadap kerajaan.
BlackBerry dalam kenyataan berkata, Cyberjaya dipilih sebagai lokasi ibu pejabat, mengambil manfaat daripada kedudukan berhampiran hab teknologi terkemuka dan infrastruktur kerajaan.
Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil berkata, beliau mengalu-alukan keputusan BlackBerry untuk menubuhkan ibu pejabat serantau itu di Kuala Lumpur.
“Ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada Malaysia, tetapi juga akan membolehkan rantau ini memanfaatkan penyelesaian keselamatan siber terkini yang ditawarkan oleh BlackBerry,” katanya.
Penubuhan ibu pejabat baharu itu menunjukkan komitmen BlackBerry terhadap Malaysia susulan perjanjian keselamatan siber yang diumumkan pada November 2023.
BlackBerry telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menubuhkan Pusat Kecemerlangan Keselamatan Siber, sebuah kemudahan latihan bertaraf dunia untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja negara.
Sementara itu, Naib Presiden Keselamatan Siber BlackBerry di APAC, Tash Stamatelos berkata, Malaysia adalah pasaran yang sangat penting bagi BlackBerry, dan berbangga dengan penubuhan ibu pejabat baharu itu sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan serantau mereka.
“Apabila negara ini menjadi Pengerusi ASEAN pada 2024, kami memuji usaha Malaysia memajukan transformasi digital dan kerjasama serantau dalam bidang seperti keselamatan siber, serta pelaburan berterusan dalam kemahiran, inovasi dan infrastruktur untuk memajukan ekonominya.
“Ini membina ekosistem yang dipercayai yang menarik syarikat global seperti BlackBerry untuk melabur dan beroperasi di sini, dan teruja dengan perjalanan kami ke hadapan bersama Malaysia sebagai hab serantau APAC kami,” katanya.
Pasukan yang beroperasi di Pejabat BlackBerry di Malaysia merangkumi jualan, pemasaran, penyelidikan ancaman, sokongan teknikal, perkhidmatan profesional, pentadbiran dan pengurusan, serta beberapa jurulatih keselamatan siber yang berkemahiran, bersiap sedia untuk menyokong para pembela siber dari Malaysia dan rantau ini.
BlackBerry telah dianugerahkan pengiktirafan Inovasi Keselamatan Siber (Perkhidmatan) di Anugerah Keselamatan Siber Malaysia 2024 sebagai pengiktirafan atas komitmennya dalam membina kapasiti dan kemahiran, meningkatkan daya tahan siber dan menyokong perjalanan Malaysia untuk menjadi negara digital yang selamat. – UTUSAN