Beri lebih masa kepada majikan sebelum laksana caruman KWSP pekerja asing

Beri lebih masa kepada majikan sebelum laksana caruman KWSP pekerja asing

FD Iskandar (tengah) bersama Ketua Pegawai Operasi, Zulkifly Garib (kiri) melihat buku laporan tahunan pada sidang akhbar Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-40 Glomac Berhad di Menara Glomac di sini, semalam. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemaju hartanah, Glomac Berhad (Glomac) menggesa kerajaan untuk memberi lebih masa untuk persediaan cadangan dasar yang mewajibkan pekerja asing menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Glomac, Datuk Seri FD Iskandar berkata, walaupun beliau mengakui faedah jangka panjang pelaksanaan itu, syarikat menegaskan bahawa industri pembinaan yang bergantung kepada pekerja asing bergaji harian akan menghadapi cabaran besar dalam jangka pendek akibat pelaksanaan dasar ini.

“Cadangan kerajaan untuk memperluaskan sumbangan KWSP kepada pekerja asing telah menimbulkan kebimbangan di pelbagai sektor, dan kami menyeru supaya tempoh penangguhan diberikan.

“Jika kerajaan mencadangkan tarikh mula pada 2026, ia akan membolehkan industri membuat persediaan,” katanya pada sidang media Mesyuarat Agung Tahunan ke-40, di sini, semalam.

FD Iskandar berkata, dalam jangka panjang, kerajaan perlu menggalakkan penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) sebagai cara untuk mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.

“Bagi memudahkan penerimaan IBS, insentif perlu ditawarkan, sama ada dalam bentuk kewangan atau kelebihan lain seperti peningkatan nisbah plot dan proses kelulusan yang lebih pantas.

“Saya faham keperluan untuk pekerja asing menyumbang kepada KWSP, kerana ia akan meringankan beban kewangan kerajaan, tetapi kami perlukan lebih masa atau amaran awal,” katanya.

Beliau berkata, ramai pekerja asing ini sering mencari pekerjaan bergaji harian, menjadikan sumbangan KWSP menjadi beban tambahan kepada majikan.

“Saya fikir industri, bukan sahaja pembinaan, tetapi juga Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), telah menyatakan ketidaksetujuan mereka dan berharap agar kerajaan akan mengkaji semula perkara ini,” katanya.

Selain itu, pada mesyuarat itu juga, para pemegang saham Glomac meluluskan dividen akhir satu peringkat sebanyak 1.25 sen sesaham biasa bagi tahun kewangan berakhir 30 April 2024.

Jelasnya, ini menterjemahkan kepada hasil dividen kira-kira 3.1 peratus berdasarkan harga penutup 40 sen pada 30 April 2024. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya