Bantuan pembiayaan buka ruang usahawan bumiputera ceburi bidang robotik, AI - Utusan Malaysia

Bantuan pembiayaan buka ruang usahawan bumiputera ceburi bidang robotik, AI

TEKNOLOGI Automasi Proses Robotik adalah masa hadapan dalam aliran kerja moden dengan keupayaan membentuk semula industri masa kini dan hadapan. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bantuan dan pembiayaan perniagaan kepada usahawan bumiputera dalam Belanjawan 2025 membuka ruang kepada mereka menceburi bidang baharu khususnya robotik dan kecerdasan buatan (AI).

Profesor di Fakulti Ekonomi dan Mualamat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Datuk Dr. Mustafa Mohd. Hanefah berkata, perkara itu boleh dilaksanakan menerusi kerjasama dengan universiti.

“Usahawan bumiputera boleh menggunakan dana pembiayaan yang diberikan oleh kerajaan itu untuk mempelbagaikan lagi perniagaan dan dalam masa sama bergerak seiring dengan perubahan teknologi semasa.

“Selain itu, kerajaan boleh mewujudkan kursus yang relevan juga perlu disediakan untuk usahawan bumiputera ini.

“Saya juga berharap ada dana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) digunakan untuk melatih pekerja dan staf pengurusan syarikat bumiputera untuk peningkatan kemahiran atau penggantian kemahiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau berkata, pengumuman oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu dilihat tepat pada masanya kerana bantuan itu amat diperlukan oleh kontraktor dan usahawan bumiputera.

“Bagaimanapun, perlu ada pemantauan oleh pihak yang terlibat seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi memastikan projek ini siap ikut masa tanpa kos yang lebih,” katanya.

Sementara itu, Profesor Kewangan dan Keusahawanan di Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Datuk Dr. Nik Maheran Nik Muhammad berkata, kesan daripada inisiatif bantuan dan pembiayaan perniagaan boleh memberikan impak yang besar dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan memperkasa usahawan bumiputera.

“Dengan melaksanakan strategi-strategi yang berkesan, inisiatif ini boleh meningkatkan penyertaan bumiputera dalam sektor ekonomi utama, merangsang penciptaan pekerjaan dan menyumbang kepada ekonomi negara yang lebih inklusif.

“Antara strategi yang perlu ditekankan adalah akses pembiayaan yang disasarkan perlu ada satu garis panduan yang jelas perlu dilaksanakan untuk memastikan RM40 bilion dalam bentuk pinjaman dan pembiayaan boleh diakses oleh usahawan yang tulen dan berkeupayaan.

“Proses permohonan yang telus dan tanpa birokrasi berlebihan akan menggalakkan penyertaan dari semua sektor,” katanya.

Nik Maheran menambah, selain daripada pembiayaan, MARA dan PUNB harus menumpukan pada program latihan dan bimbingan untuk melengkapkan usahawan dengan kemahiran perniagaan seperti pengurusan kewangan, inovasi dan pengembangan pasaran.

“Ini memastikan dana digunakan dengan berkesan dan pertumbuhan perniagaan yang mampan dapat dicapai.

“Di samping itu, bagi pemantauan dan sokongan untuk kontraktor G1-G4, penilaian berkala perlu dijalankan untuk memastikan kontraktor-kontraktor ini memenuhi standard kualiti dan tempoh masa, sekali gus meningkatkan kredibiliti dan daya saing mereka dalam pasaran.

“Kerajaan juga perlu memastikan penyaluran bayaran yang tepat pada masanya dan proses pemprosesan yang pantas untuk kontraktor, khususnya untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bekerja dalam projek kerajaan. Ini akan memperbaiki kecairan tunai dan kestabilan operasi mereka,” katanya.

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, secara keseluruhan, RM40 bilion disediakan sebagai kemudahan pinjaman serta jaminan pembiayaan perniagaan di bawah agensi-agensi kerajaan.

Sebanyak RM800 juta pembiayaan di bawah MARA dan PUNB tersedia untuk lebih ramai usahawan bumiputera termasuk untuk menyokong artisan tempatan.

Selain itu, kerajaan bersetuju memperuntukkan RM1.3 bilion untuk memperkasa kontraktor G1-G4 khususnya bumiputera.

Ini memberi peluang kepada kontraktor melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana seperti pembinaan jalan raya serta pembaikan dan penyelenggaraan prasarana awam.

Pada masa yang sama, sejumlah RM200 juta disediakan untuk Skim CAKNA 2 bagi menyokong aliran tunai kontraktor G1-G4 menyiapkan projek berskala kecil kerajaan bernilai sehingga RM1.5 juta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya